UiTM Cawangan Perak, 21 Mei 2024 – Telah berlangsung satu sesi Pengajaran dan Pembelajaran secara kolaboratif (Collaborative Teaching Session) bersama pihak industri secara atas talian menerusi pelantar Microsoft Teams. Program ini melibatkan kod kursus TPR150 (Perancangan Susun Atur Perumahan) anjuran Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Alam Bina, UiTM Seri Iskandar, Cawangan Perak. Sesi Pengajaran dan Pembelajaran yang telah dijalankan pada hari tersebut memfokuskan kepada Konsep Pembangunan Perumahan di Perak Tengah.
Program ini menjemput penceramah dari Ketua Jabatan Perancang Pembangunan, Majlis Perak Tengah iaitu TPr. Gs. Mohammad Kamarul Izham bin Samsudin untuk berkongsi berkenaan dengan Konsep Pembangunan Perumahan di Perak Tengah.
Penceramah juga menyentuh tentang konsep-konsep pembangunan perumahan yang perlu diterapkan di kawasan Perak Tengah, trend permintaan perumahan di kawasan Perak Tengah, faktor-faktor ekonomi yang mempengaruhi pasaran perumahan, elemen baru yang perlu diwujudkan bagi mencapai Masyarakat Sejahtera, dan proses Permohonan Kebenaran Merancang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Antara pengisian program ini bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada para pelajar berkenaan dengan pembangunan perumahan di Daerah Perak Tengah. Para peserta adalah dikalangan pelajar Semester 02 dan pensyarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah iaitu seramai 70 orang. Program ini berbentuk forum iaitu satu bentuk komunikasi dua hala yang melibatkan penceramah jemputan dan para pelajar. Tidak lupa juga selaku moderator program ialah Gs. Dr. Nor Eeda Hj. Ali.
Secara keseluruhannya, program seperti ini dapat membantu meningkatkan ilmu pengetahuan para pelajar dan peka terhadap keadaan pembangunan sekeliling. Justeru itu, kolaborasi bersama pihak industri adalah salah satu strategi dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) di institusi pengajian tinggi yang menerapkan nilai-nilai perkongsian ilmu yang lebih menarik dan berkesan. Selaras dengan kepakaran yang ada, amalan pengajaran kolaboratif yang diperkenalkan ini mampu mengoptimumkan pengetahuan dan kemahiran para pelajar. Akhirnya, program ini telah mencapai matlamat utama untuk mendedahkan para pelajar dengan perkembangan industri luar. Seterusnya, secara tidak langsung mencapai SDG 11: Sustainable Cities and Communities.