Koir UiTM bersuara tiga emas

Pasukan koir Universiti Teknologi Mara (UiTM), berjaya merangkul tiga emas dalam semua kategori di Festival Koir Antarabangsa Copernicus kali ketujuh di Torun, Poland

KUALA LUMPUR 3 Julai – Pasukan koir Universiti Teknologi Mara (UiTM), berjaya merangkul tiga emas dalam semua kategori yang dipertandingkan dalam Festival Koir Antarabangsa Copernicus kali ketujuh di Torun, Poland.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim dalam satu kenyataan berkata, tiga kategori yang dipertandingkan adalah Koir Campuran dan ‘Folklore’ (lagu rakyat /budaya) hasil persembahan UiTM Chamber Choir (UCC) serta kategori Koir Wanita oleh UiTM Women`s Chorale (UCS).

Selain itu katanya, UCC juga berjaya merangkul anugerah khas iaitu ‘Special Audience Prize’ (Hadiah Khas Penonton) dan ‘Grand Prix of All Volunteers Awards Per Musicam ad Astra’ dalam pertandingan yang diadakan dari 29 Jun sehingga 3 Julai 2019 itu.

Pasukan koir UiTM semsa menyertai Festival Koir Antarabangsa Copernicus. Torun, Poland

“Sebanyak 12 daripada 52 kumpulan koir layak ke pusingan akhir. Antara negara yang layak adalah Poland, Latvia, Lithuania, Taiwan, Filipina , Indonesia, Afrika Selatan dan Malaysia.

“Dalam pertandingan itu, UCC telah mempersembahkan tiga buah lagu sewaktu sesi konsert persahabatan dan mempertaruhkan sebelas buah lagu tempatan serta antarabangsa untuk keseluruhan pertandingan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohd. Azraai berkata, ‘Special Audience Prize’ (Hadiah Khas Penonton) diterima selepas gambar kumpulan koir UiTM berjaya mendapat lebih 7,500 tanda suka melalui undian secara dalam talian dalam laman media sosial Facebook.

Menurutnya, bagi anugerah khas ‘Grand Prix of All Volunteers’ diraih berdasarkan hasil undian sukarelawan yang mengendalikan keseluruhan program tersebut.-UTUSAN ONLINE

Oleh : Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/koir-uitm-bersuara-tiga-emas-1.929482

0
0