Klinik Latihan Ilmiah Fakulti Pendidikan Strategi Intervensi untuk Pelajar Capai GOT

Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Penddikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Cawangan  Selangor (UCS) telah menganjurkan Klinik Latihan Ilmiah pada 16 Mei 2020. Klinik Latihan Ilmiah ini merupakan program intervensi yang dianjurkan setiap semester dan golongan sasarannya adalah pelajar semester akhir yang mendaftar untuk kursus Latihan Ilmiah (EDU650). Pengisian klinik semester Mac-Ogos 2020 ini ialah Statistical Analysis Using SPSS for Chapter Four (Results) yang disampaikan oleh Dr. Sharifah Muzlia Syed Mustafa, Koordinator Program Sarjana dan Doktor Falsafah (Penyelidikan), Fakulti Pendidikan.

Antara lain, fokus Klinik Latihan Ilmiah yang dikendalikan melalui mod webinar ini ialah analisa data kuantitatif menggunakan perisian SPSS serta cara penyampaian data yang berkesan di dalam penulisan akademik. Dr. Sharifah Muzlia turut berkongsi tips praktikal yang boleh digunakan oleh pelajar untuk laporan penyelidikan yang lebih berimpak.

Latihan Ilmiah (EDU650) adalah salah satu kursus teras di dalam pelan pengajian kesemua program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang ditawarkan di Fakulti Pendidikan. Kursus ini menuntut para pelajar menjalankan penyelidikan berkaitan bidang pendidikan dan menyerahkan laporan kajian dalam bentuk latihan ilmiah di hujung semester lapan.  Sejak mula dianjurkan pada 2017, Klinik Latihan Ilmiah didapati telah berjaya meningkatkan peratusan pelajar tamat dalam tempoh (GOT) dengan signifikan.

Rakaman serta slaid pembentangan sesi webinar ini boleh dimuat turun daripada laman web Fakulti Pendidikan: https://education.uitm.edu.my/v5/index.php/en/