Klinik Latihan Ilmiah bantu Fakulti Pendidikan Sasar GOT

Sesi Klinik Latihan Ilmiah bantu Fakulti Pendidikan Sasar GOT

Baru-baru ini, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan telah menganjurkan Klinik Latihan Ilmiah. Latihan Ilmiah atau Academic Exercise (EDU650) ialah salah satu kursus teras di dalam pelan pengajian kesemua tujuh program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang ditawarkan di Fakulti Pendidikan. Di dalam kursus ini, pelajar menjalankan penyelidikan dalam aspek-aspek pendidikan dan menyerahkan laporan kajian dalam bentuk latihan ilmiah di akhir pengajian mereka.

Penyertaan pelajar adalah berdasarkan rekomendasi penyelia dan keutamaan diberikan kepada peserta yang berpotensi tinggi tidak melengkapkan latihan ilmiah di hujung semester 8. Walau bagaimanapun, klinik ini terbuka kepada pelajar yang berminat walaupun tidak mempunyai sebarang masalah dengan tugasan mereka.

Klinik Latihan Ilmiah ialah satu strategi intervensi dalam membantu proses penyelidikan pelajar terutamanya daripada aspek penulisan akademik. Komponen kajian di dalam kursus ini dan tempoh dua semester untuk menghasilkan latihan ilmiah memberi pelbagai halangan kepada pelajar.

Tambahan pula pelajar mula menjalankan proses penyelidikan pada masa yang sama mereka menjalani latihan praktikum di sekolah. Sebilangan pelajar gagal menguruskan masa dengan baik dan ini memberikan impak negatif kepada kemampuan menyiapkan latihan ilmiah pada masa yang ditetapkan.

Klinik ini mula diperkenalkan sejak 2017 dan data GOT mengikut semester sejak Jun 2017 menunjukkan tren peningkatan yang amat memberangsangkan. Kadar GOT pelajar Fakulti Pendidikan berada pada tahap 90 peratus ke atas untuk kedua-dua semester dalam tahun 2018 berbanding pada tahun 2017 dan sebelumnya yang mencatatkan peratusan kurang daripada 90 peratus.

Klinik Latihan Ilmiah merupakan inovasi yang sangat signifikan dalam memastikan pelajar tamat dalam tempoh (GOT). Walaupun budaya penyelidikan di kalangan pelajar disemai secara eksplisit sejak semester 5 melalui kursus Introduction to Research Methodology (EDU540) dan semester 6 melalui Basis Data Analysis (EDU541), pelajar perlu dibimbing secara berterusan dan dibantu daripada aspek penulisan ilmiah.

Klinik Latihan Ilmiah yang diadakan setiap semester memastikan motivasi pelajar dalam melengkapkan latihan ilmiah berada pada tahap tinggi. Ianya juga memberi ruang kepada pelajar untuk mengenalpasti pendekatan dan kaedah terbaik dalam melengkapkan latihan ilmiah mereka.

0
0