KLIA:Kecuaian kakitangan?

Prof Jasni Mohamad Zain, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM)

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Gangguan sistem teknologi maklumat (IT) yang dialami Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dekat sini mungkin kecuaian kakitangannya.

Menurut Profesor Keselamatan Data dan Imej Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Jasni Mohamad Zain, tidak mustahil juga jika wujud pihak luar berjaya menceroboh premis lapangan terbang itu untuk mencetuskan gangguan terhadap sistem rangkaiannya.

“Berdasarkan siasatan dan rentetan peristiwa, mereka (MAHB) boleh tentukan puncanya, sama ada daripada kegagalan perkakasan rangkaian sahaja atau ada sabotaj disebaliknya.

“Namun, soal wujud pihak berniat jahat atau sebaliknya biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan untuk menentukan jika terdapat unsur sabotaj,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang tidak menolak jika gangguan berpunca daripada tindakan berniat jahat.

Namun sebelum ini, MAHB menafikan wujud serangan siber dikesan dalam gangguan sistem rangkaian di dua lapangan terbang utama negara itu.

Sementara itu, Pengarah Kyrol Security Labs Sdn. Bhd. Khairol Shapawi Abdul Karim berkata, gangguan dialami lebih tiga hari itu mungkin berpunca daripada e-mel ‘spam’ yang boleh menyebabkan berlaku kecelaruan dalam rangkaian IT KLIA.

“Kecuaian pasti sukar dielak jika terdapat pekerja menerima e-mel ‘spam’ yang mengandungi virus atau mengakses laman web berisiko dijangkiti ‘malware‘.

“Selain itu, tidak mustahil juga jika wujud tindakan sabotaj terhadap sistem melalui individu yang boleh mengakses perkakasan rangkaian IT lapangan terbang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Oleh: Mohamad Athir Ismail
Sumber:https://www.utusan.com.my/berita/nasional/klia-kecuaian-kakitangan-1.960887

1
0