Kelab Malaysia Agroentrepreneurial Club for University Students (MyAgrosis) UiTM Kampus Raub berkolaborasi dengan FAMA Negeri Pahang dan FAMA Daerah Raub telah menganjurkan program Raya Bersama Produk Agromas. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan produk keluaran FAMA dengan label produk Agromas. Agromas adalah jenama Produk Makanan yang antaranya terdiri daripada Kopi Pracampur, Sardin Dalam Sos Tomato, Mee Kari Putih,Bihun Tomyam, Mi Bandung Segera dan Kordial.
Agromas adalah Jenama Islam yang diusahakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berpengkalan di Kuala Lumpur. Secara amnya promosi adalah penyampaian maklumat mengenai sesuatu keluaran kepada orang ramai. Tujuan promosi dilakukan untuk memperkenalkan sesuatu keluaran dalam pasaran. Maklumat yang disampaikan semasa promosi dijalankan termasuklah ciri barangan, harga barangan, cara penggunaan, dan kelebihan barangan berkenaan untuk menarik perhatian orang ramai.
Penganjuran program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mengasah bakat dan kreativiti mereka menyunting video dalam mempelbagaikan penggunaan produk Agromas bagi tujuan menyediakan juadah Hari Raya. Selain daripada itu, program ini dapat mengeratkan hubungan bersama dengan kelab MyAgrosis di cawangan universiti lain melalui penyertaan mereka dalam menjayakan lagi program Raya Bersama Produk Agromas ini.
Program ini telah disertai oleh 2 peserta kategori individu dan 12 peserta dalam kategori berkumpulan. Para pemenang telah menerima hadiah berupa wang tunai. Senarai pemenang adalah seperti berikut:
Nama Fakulti Hadiah Amni Nadiah Binti Kamarudin Fakulti Pengurusan Perniagaan Tempat Pertama : RM100
Mohamad Fakhrullah Bin Ibrahim Fakulti Sains Komputer dan Matematik Tempat Kedua : RM75
A’tif Muiz Bin Mohd Zahani Fakulti Pengurusan Perniagaan Tempat Ketiga : RM50
Penyertaan yang agak memberangsangkan ini telah dapat mempromosikan kelab MyAgrosis dengan memberi penekanan kepada para pelajar berkenaan dengan keistimewaan penubuhan kelab ini yang berasaskan keusahawanan dan merupakan satu-satunya kelab yang berada di bawah naungan pihak FAMA . Bukan itu sahaja, program ini dapat memperkenalkan kepada para pelajar berkenaan dengan projek Agroniaga Kshoppe yang merupakan platform utama aktiviti keusahawanan pelajar di Kampus UiTM Raub.
Secara dasarnya program ini telah mendedahkan kepada para pelajar untuk membentuk sifat positif dalam diri seperti keberanian mencuba sesuatu yang baharu, pemahaman pernyataan masalah sebelum proses pembentangan solusi, keinginan untuk mencabar apa-apa norma kebiasaan dalam usaha mencari penyelesaian, semangat kebersamaan dalam perbincangan dan diskusi serta lain-lain. Sifat yang lebih penting adalah keberanian untuk menghadapi kegagalan.
Seorang graduan yang memiliki sifat ini tidak mudah rentan menghadapi cabaran walaupun di era pascapandemik. Pengurusan kelab MyAgrosis sentiasa membantu menyokong pelajarnya yang ingin meneroka sisi keusahawanan mereka kerana perkara itu akan menambah baik kebolehpasaran mereka ketika tamat pengajian kelak sekaligus menyokong kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 1) : Tiada Kemiskinan.