Keunikan UiTM-AV1, dapat dihidupkan melalui pengesanan wajah

VC UiTM merasmikan kenderaan UiTMAV-1 yang sedang diuji pandu oleh Datuk Seri Idris Jusoh

Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah sekali lagi melakar sejarah apabila menghasilkan kenderaan tanpa pemandu oleh UA pertama di Malaysia.

Projek yang baharu sahaja dimulakan pada Oktober 2017 ini, adalah terhasil menggunakan Skim Geran Penyelidikan Strategik Translational Research (TR@M) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Ia merupakan salah satu inisiatif universiti dalam menyahut Lonjakan 7 PPPM(PT) yang mana menggabungkan pakar penyelidik UiTM daripada empat fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, projek ini adalah bertujuan untuk mewujudkan model UiTM-AV1 dengan profil terkedepan yang mana operasi kenderaan autonomous ini diawasi, dikoordinasi, dikawal dan diintegrasikan dengan menggunakan teknologi pengkomputeran dan komunikasi, serta kecerdasan buatan yang selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0. Kenderaan ini akan mampu untuk mengenal pasti kedudukan (locate) semasa dan melakukan pemetaan (mapping) laluan dengan sendiri.

Uniknya model kenderaan autonomous yang dihasilkan UiTM ini adalah ianya dihasilkan melalui kajian reka bentuk (4) ikon yang beridentitikan Malaysia iaitu Wau Bulan, Keris, Bangunan KLCC dan Bunga Raya yang menjadi DNA kepada gaya atau sequence map jati diri negara di samping memberikan penekanan kepada reka bentuk sejagat (universal design). Penekanan juga diberi kepada ketampakan dan acuan permukaan yang mana bentuk aerodinamiknya ditambah baik, berergonomik di samping mengaplikasikan kelestarian teknologi dalam proses reka bentuknya.

Kenderaan elektrik berkapasiti dua/empat penumpang yang diintegrasikan dengan reka bentuk khusus seperti yang dinyatakan di atas ini mempunyai casis kereta dan bateri litium dengan sistem pengurusan kuasa bagi memastikan ketahanan dan boleh beroperasi dalam jangka masa yang lebih panjang.

UiTMAV-1 : kenderaan tanpa pemandu oleh UA pertama di Malaysia
Datuk Seri Idris melancarkan kenderaan tanpa pemandu UiTMAV-1 di UiTM Kampus Dengkil

Mesra alam

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh semasa melancarkan kenderaan berkenaan berkata, kereta yang bercirikan mesra alam dan menyokong teknologi hijau (green technology) dengan penggunaan kuasa elektrik tanpa petrol ini secara tidak langsung adalah sebagai lambang visi TN50, yang mengutamakan kenderaan pintar dengan teknologi hijau ke arah mewujudkan persekitaran hijau pada masa depan (future green environment) dan penyambungan pintar yang berpotensi (intelligent connectivity potential) untuk generasi akan datang.

Antara ciri keselamatan pada kenderaan UiTM-AV1 ini adalah enjin kenderaan yang hanya dapat dihidupkan melalui pengesanan wajah (face recognition). Selain itu, ia juga bercirikan mesra alam dan menyokong teknologi hijau (green technology) dengan penggunaan kuasa elektrik tanpa petrol.

Projek ini membuktikan bahawa UiTM komited dalam menghasilkan produk-produk yang bercirikan teknologi terkedepan melalui kumpulan pakar penyelidik dan seterusnya menyumbang dalam proses mereka bentuk pendidikan tinggi selaras dengan Kerangka Pendidikan Tinggi 4.0.

Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan ialah Pengerusi, Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Datuk Ir. (Dr.) Ahmad Zaidee Laidin; Ketua Penyelidik UiTM AV-1, Dr. Juliana Johari; Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid dan Adun Dengkil, Tuan Shahrum Mohd Sharif.

Dr Zakri, Dr Hassan, Ir. (Dr.) Ahmad Zaidee, Tuan Shahrum, Dr. Juliana dan Datuk Seri Idris
Ketua Penyelidik UiTM AV-1, Dr. Juliana Johari (tengah)

 

Sumber: http://kampusuols.com/article/415/U-Inovasi/Keunikan-UiTM-AV1-dapat-dihidupkan-melalui-pengesanan-wajah

0
0