Keunggulan Aplikasi KitaFSKM Terserlah di Idea Unggul @UiTM2020

Baru-baru ini, pasukan FSKM dinobatkan sebagai juara keseluruhan di Pertandingan Idea Unggul @ UiTM 2020 menewaskan 60 pasukan lain. Pasukan FSKM yang menggelarkan diri mereka Young Blaze terdiri daripada Dr Muhammad Izzad Ramli (Ketua), Dr Maslina Abd Aziz dan Encik Muhammad Azizi Mohd Ariffin mempertandingkan “KitaFSKM: Aplikasi Mudah Alih Untuk Penyebaran Maklumat Secara Pantas di Kalangan Pelajar Bagi Mengekang Penularan COVID-19”.

Selain menjadi juara keseluruhan , Young Blaze turut memenangi Anugerah Inovasi Pengurusan (Penciptaan), Anugerah Penarafan Emas dan Anugerah Idea Kreatif. Menurut kumpulam Young Blaze, mereka membuat persediaan rapi untuk bertanding dalam Idea Unggul @ UiTM. Antara persediaan yang telah dilakukan adalah mengadakan bengkel-bengkel permurnian idea, mengadakan uji-lari produk dan mempromosi aplikasi ini di kalangan pelajar dan pensyarah.

Aplikasi ini diilhamkan pada awal tempoh perlaksanaan pembelajaran jarak jauh secara terbuka (ODL). Ketika itu terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh pelajar dan pensyarah. Berlaku kebanjiran maklumat berkaitan COVID-19 yang tidak dapat dipastikan kesahihannya serta mengelirukan. Antaranya adalah maklumat kebenaran penghantaran pulang, maklumat perlaksanaan kuarantin, maklumat bantuan pembelian data internet untuk pelajar dan lain-lain lagi. Keadaan ini menyebabkan timbul rasa panik, kemarahan, kegelisahan dan kebingungan di kalangan pelajar, pensyarah dan kakitangan pentadbiran.

Bagi menangani isu ini, FSKM telah menginovasikan sebuah aplikasi mudah alih “KitaFSKM”. Aplikasi ini digunakan oleh pelajar, pensyarah dan kakitangan pentadbiran untuk memberikan pemberitahuan dan maklumat mengenai isu-isu semasa. Objektif utama aplikasi ini adalah penyampaian berita dan maklumat yang sahih 24 jam sehari, 7 hari seminggu dengan pantas, efektif dan menjimatkan kos. Dengan adanya aplikasi ini, maklumat yang dipaparkan dapat dikawal dengan baik.

Dengan penggunaan aplikasi “KitaFSKM”, proses menyebarkan maklumat sahih di kalangan FSKM berjaya dikurangkan kepada msatu setengah hari sahaja  berbanding 6-7 hari sebelumnya. Proses kerja juga berkurangan daripada 6 menjadi 2 langkah sahaja.Ini menjadikan pengurangan masa dan peningkatan prestasi sebanyak 79% dan pengurangan proses kerja sebanyak 67%.

Menurut Dr Izzad, kejayaan yang mereka perolehi adalah daripada hasil kerjasama yang tinggi di kalangan ahli pasukan. Selain itu, mereka mendapat sokongan penuh daripada Dekan FSKM, Hal Ehwal Pelajar FSKM, Polis Bantuan UiTM, penyelaras KIK FSKM dan terutama sekali para pelajar FSKM.