Kesedaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di PTAR

Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) merupakan penjenamaan semula Amalan 5S yang telah diguna pakai dalam sektor awam sejak 2010. Komponen utama dalam pelaksanaan EKSA masih berteraskan Amalan 5S yang ditambah baik di samping penambahan beberapa elemen baharu.

EKSA bukan bertujuan untuk menggantikan konsep 5S yang diamalkan sebelum ini, sebaliknya menambah baik elemen 5S tersebut dengan menyokong kepada pewujudan persekitaran kerja yang lebih kondusif.

Amalan 5S ditambah baik dengan menambah lima elemen baharu, iaitu: Imej Korporat; Kreativiti dan Inovasi; Amalan Hijau, Persekitaran Kondusif; dan Kepelbagaian Agensi.


Menurut Pengerusi EKSA PTAR (Perpustakaan Tun Abdul Razak), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Nor Azwani Mohamad, ia diharapkan dapat memupuk kerja berpasukan disiplin diri dan dapat meningkatkan rasa tanggungjawab serta sayang kepada organisasi.

Satu Garis Panduan Pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) PTAR akan diterbitkan. Panduan ini merupakan rujukan kepada warga PTAR bagi melaksanakan aktiviti ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang kemas, bersih dan tersusun di PTAR,” jelasnya.

Sementara Ketua Pustakawan, Noor Hidayat Adnan dalam ucapan perasmiannya melihat langkah ini adalah satu transformasi dan inisiatif sangat baik untuk menjadikan PTAR antara jabatan yang mementingkan persekitaran kerja kondusif, seterusnya menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti kerja warga PTAR dengan mengamalkan EKSA.

“Kejayaan ini juga akan menjadi bukti bahawa PTAR adalah sebuah perpustakaan yang berupaya menawarkan ruang dan persekitaran kondusif kepada pelanggan di samping memberi penekanan kepada penyampaian sistem perkhidmatan, mesra pelanggan dan memberi keselesaan semasa berurusan di samping menggalakkan warga PTAR untuk jadi lebih kreatif dan inovatif,” jelasnya.

Tambahnya, perkembangan teknologi dan penstrukturan jabatan dari semasa ke semasa menuntut pewujudan budaya organisasi yang dinamik berasaskan kreativiti dan inovasi.

Pensijilan EKSA bagi PTAR adalah sebagai pensijilan organisasi yang merangkumi PTAR Utama, PTAR Undang-Undang, PTAR Kejuruteraan, PTAR Sains & Teknologi, PTAR Alam Bina dan Jabatan Arkib dan Muzium Universiti.

Adalah diharapkan pensijilan satu organisasi yang bakal dilaksanakan secara serentak kepada enam lokasi ini dapat diselaraskan dengan baik dan menyeluruh serta berkesan.

Taklimat dan perkongsian amalan terbaik EKSA juga disampaikan Ketua Unit Pengurusan Transformasi dan Inovasi, Sektor Pengurusan Strategik. Kementerian Pendidikan (KPM), Mazzleza Ab Wahab.

Objektif program ini dianjurkan adalah untuk:
a) Mewujudkan kesedaran di kalangan staf dan pegawai PTAR bahawa meningkatkan hasil kerja melalui EKSA memerlukan komitmen yang tinggi serta usaha berterusan
b) Mewujudkan persekitaran kerja yang lebih baik sistematik supaya selaras dengan piawaian Pensijilan EKSA
c) Menyemai semangat kerja berpasukan antara staf dan pegawai PTAR bagi tujuan meningkatkan produktiviti dan kualiti selaras dengan matlamat PTAR
d) Membina disiplin dan sikap yang lebih tinggi antara pekerja awam, staf, dan peqawai melalui pengwujudan tempat kerja yang bersih, selesa dan teratur

Foto-foto sekitar Majlis Pelancaran & Taklimat Kesedaran EKSA(Ekosistem Kondusif Sektor Awam)
https://perpustakaanuitm.blogspot.com/2019/07/sekitar-majlis-pelancaran-taklimat.html

Video Pelancaran : https://www.youtube.com/watch?v=XBa06u9miSY

#eksaptar
#libraryuitm
#uitmdihatiku
#budayaperdana
#uitmmembaca
#malaysiamembaca

follow us , like and share Tq

0
0