Kerjasama Unit Kesihatan UiTM Sarawak dan Pico Food Industry Sdn. Bhd

Kerjasama Unit Kesihatan UiTM Sarawak dan Pico Food Industry Sdn. Bhd

Unit Kesihatan UiTM Cawangan Sarawak dan PICO Food Industry Sdn. Bhd telah buat julung kalinya mengadakan Saringan Kesihatan dan Ceramah Keselamatan dan Asas Pertolongan Cemas bersama industri bagi memberi peluang kepada pekerja industri untuk mendapatkan saringan asas kesihatan secara percuma dan secara langsung memberi kesedaran akan tahap kesihatan diri sendiri.

Selain itu, ia merupakan salah satu langkah awal bagi mengesan penyakit berbahaya yang berisiko dan pendedahan awal tentang rawatan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kemalangan di tempat kerja. Program ini berlangsung di bilik aktiviti dan bilik mesyuarat di Bangunan Pentadbiran Pico Food Industry Sdn.Bhd, Siburan.

Latihan profesional dari anggota perubatan untuk kes kecemasan

Program ini adalah salah satu program sukarelawan dari Unit Kesihatan UiTM Cawangan Sarawak bagi berkongsi ilmu dan berkhidmat kepada komuniti bersama pelajar UiTM. Penglibatan staf Unit Kesihatan adalah bagi memberikan latihan profesional dari anggota perubatan yang terlatih tentang kaedah yang betul untuk menyelamatkan nyawa.

Seramai 24 orang pekerja PICO dari pelbagai bahagian telah terlibat dalam program berkenaan. Antara pengisian program ialah ceramah keselamatan di kilang oleh Dr Mohd Khairol bin Jambli, Bantuan Awal Kecemasan dan Pengenalan Peti Kecemasan oleh Sn. Jacqueline Nawas dan Sesi Saringan Kesihatan oleh Staf Unit Kesihatan bersama pelajar UiTM dari pelbagai fakulti.

Menurut Mr. Seah Kwee Chuan, Production Manager, amat berterima kasih kerana memberi peluang kepada mereka untuk berkerjasama dengan UiTM Cawangan Sarawak bagi menjayakan program ini.

Selain itu, mereka juga berharap, program ini akan diteruskan lagi di masa hadapan. Pihak Unit Kesihatan, mengharapkan program seumpama ini dapat membina hubungan yang lebih rapat antara pihak UiTM dan mana-mana pihak industri pada masa akan datang.

0
0