19 Oktober 2024 – Seminar “Jana Pendapatan Melalui TikTok & Suntingan Kreatif dengan CapCut” yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 12-13 Oktober 2024 berjaya memberi impak yang signifikan kepada komuniti peniaga kecil dan sederhana (PKS) di Kuala Lumpur. Bertempat di Auditorium DBKL, program ini menumpukan kepada cara-cara menggunakan platform TikTok sebagai alat pemasaran digital, serta teknik suntingan video yang kreatif menggunakan aplikasi CapCut. Seminar ini telah berjaya menarik kehadiran melebihi dari sasaran, iaitu 104 peserta pada hari pertama dan 96 peserta pada hari kedua. Majoriti peserta terdiri daripada peniaga dan penjaja DBKL dari Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.
Tujuan utama seminar ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pemegang lesen perniagaan dan penjaja di bawah DBKL tentang potensi pendapatan pasif melalui TikTok Affiliate serta cara untuk memanfaatkan kreativiti dalam menghasilkan kandungan yang viral. Majlis perasmian seminar telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Ismadi bin Sakirin, Pengarah Eksekutif Sosioekonomi, DBKL, yang turut memberikan ucapan pembukaan dan menekankan pentingnya peranan digitalisasi dan inovasi kreatif dalam memajukan perniagaan kecil serta sederhana di Kuala Lumpur.
Seminar ini menampilkan dua penceramah jemputan berpengalaman dari UiTM, iaitu Dr. Mohd Nasiruddin Abd Aziz, Pensyarah Kanan Seni Reka Grafik dan Media Digital dari UiTM Cawangan Perak, dan En. Zahir Alaudin Abd Hamid, Pensyarah Kanan Digital & Imaging Arts Creative Photomedia dari UiTM Puncak Alam. Pada hari pertama, beliau membimbing peserta dalam teknik penghasilan video kreatif menggunakan CapCut, sementara Dr. Mohd Nasiruddin pada hari kedua memberi penerangan mengenai program TikTok Affiliate dan cara menjana pendapatan pasif melalui platform tersebut. Kedua-dua penceramah berjaya menarik minat peserta dengan membincangkan teknik pemasaran yang relevan dan terkini.
Program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memberikan pendedahan dan meningkatkan kemahiran peserta dalam suntingan video yang kreatif serta strategi pemasaran digital. Berdasarkan maklum balas peserta, sebanyak 95% menyatakan bahawa seminar ini telah memenuhi jangkaan mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa topik yang dibincangkan bukan sahaja menarik tetapi juga relevan dengan keperluan peserta, terutama dalam aspek pemasaran digital untuk menjana pendapatan tambahan. Program ini turut memberi kefahaman yang mendalam mengenai potensi pendapatan pasif melalui program TikTok Affiliate, dengan 90% peserta melaporkan bahawa mereka kini lebih yakin untuk menggunakan platform tersebut.
Kesan positif seminar ini dapat dilihat melalui keyakinan yang meningkat dalam kalangan peniaga kecil dan penjaja untuk menggunakan media sosial sebagai alat pemasaran yang berkesan. Penghasilan video kreatif dan strategi pemasaran yang dipelajari bukan sahaja mampu meningkatkan engagement dengan pelanggan tetapi juga membuka peluang untuk memperluaskan pasaran mereka. Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta secara individu, tetapi juga kepada komuniti perniagaan kecil dan sederhana secara keseluruhan dengan memupuk kesedaran tentang kepentingan ekonomi digital.
Secara keseluruhannya, “Seminar Jana Pendapatan Melalui TikTok & Suntingan Kreatif dengan CapCut” merupakan inisiatif yang berjaya dan relevan dalam membantu masyarakat PKS di Kuala Lumpur meningkatkan kemahiran pemasaran digital mereka. Program ini bukan sahaja membimbing peserta dalam penggunaan alat digital tetapi juga membina keyakinan mereka untuk meneroka kaedah baharu menjana pendapatan. Inisiatif seperti ini wajar diteruskan bagi memastikan lebih ramai peniaga kecil dan sederhana dapat memanfaatkan peluang dalam era ekonomi digital yang semakin berkembang.