PULAU PINANG, 26 OGOS – Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Green Building Index (GBI) Sdn. Bhd. telah berlangsung pada 26 Ogos 2024 di UiTM Cawangan Pulau Pinang. Majlis anjuran pihak Pengajian Kejuruteraan Awam, UiTM Kampus Permatang Pauh ini telah melakar sejarahnya yang tersendiri kepada semua pihak yang terlibat. Kerjasama ini merupakan usaha yang diteruskan hasil kerjasama bersama Malaysian Green Building Council (MGBC) Northern Region. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sebelum ini seperti penyertaan di dalam pelbagai webinar berkaitan amalan bangunan hijau dalam kejuruteraan awam.
Memorandum Persefahaman (MoU) ini ditandatangani oleh Profesor Dato’ Ir. Dr. Hj. Ahmad Rashidy Razali yang merupakan Rektor UiTM Cawangan Permatang Pauh dan Profesor Adjung Ar. Adrianta Aziz , Pengerusi Greenbuildingindex Sdn. Bhd. Selain itu, majlis ini juga disaksikan oleh Dr. Muhamad Faizal Pakir Mohamed Latiff, Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pulau Pinang, Encik Andrew Kong Ted Khiong, Pengurus Besar Greenbuildingindex Sdn. Bhd. dan Puan Wan Nurul Ain Wan Sazali, Senior Executive, Strategic Marketing & Industry Training.
Untuk makluman, Greenbuildingindex Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang bertanggungjawab sebagai sebuah badan akreditasi terhadap indeks bangunan hijau. Ianya berperanan mempromosikan pembangunan mapan di Malaysia selari dengan Sustainable Development Goals. Selain itu, kerjasama bersama Greenbuildingindex Sdn. Bhd. ini akan melibatkan kerjasama akademik dalam pelbagai aspek termasuklah perkongsian dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan pengetahuan dalam bidang pembangunan mapan dan implementasi bangunan hijau. Dalam pada itu, ianya juga bertujuan untuk meningkatkan pembangunan sumber manusia dalam aspek teknikal, penganjuran program, persidangan, simposium dan mesyuarat berkaitan aspek utama kerjasama. Peluang ini juga memberikan ruang yang besar kepada kedua-dua pihak dalam perkongsian aspek kepakaran dan teknologi untuk meningkatkan libat sama di antara institusi pengajian tinggi dan pihak industri.
Dengan termeterainya MoU di antara UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Greenbuildingindex Sdn. Bhd. diharapkan ianya memberi impak positif dalam memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk menambah pengetahuan dan kemahiran baharu dalam industri hijau. Pihak universiti juga ingin merakamkan penghargan kepada pasukan peneraju yang diketuai oleh Siti Isma Hani Ismail bersama Profesor Ts. Dr. Shankerkumar Sinnakaudan, Ts. Dr. Mohd Samsudin Abdul Hamid dan Nuraini Tutur dari Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM Cawangan Pulau Pinang. Diharapkan kerjasama sama ini dapat memberikan impak kepada pihak universiti selari dengan matlamat untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti terkemuka 2025.