JERANTUT, 9 November – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka, terlibat secara langsung dalam Program Penanaman Semula Pokok “Reforesting Our Future” anjuran Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang di Pos Perlok, Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal.
Seramai 60 orang pelajar dari Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti dan Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Biologi, diiringi enam pensyarah telah berjaya menanam sebanyak 850 anak pokok dari pelbagai spesies seperti spesies mangga, berangan, merlimau, sentul, meranti, dan kelat jambu laut.
Program ini menawarkan pelbagai faedah kepada para pelajar seperti pendidikan dan kesedaran mengenai kepentingan penanaman pokok dalam menangani perubahan iklim, mengurangkan jejak karbon, dan meningkatkan kualiti udara. Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan ilmu mengenai ekosistem, biodiversiti, dan peranan flora dalam mengekalkan keseimbangan ekologi.
Menurut wakil pensyarah, Dr Nabilah Zainol, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar tetapi juga mendidik pelajar dengan nilai dan kemahiran yang menyumbang kepada pertumbuhan peribadi dan profesional mereka seperti pembinaan kemahiran praktikal, kerja berpasukan, serta memupuk sikap bekerjasama dengan rakan sebaya. Pendedahan kepada inisiatif alam sekitar boleh menimbulkan minat dalam kerjaya yang berkaitan dengan pemuliharaan, perhutanan atau pembangunan mampan untuk generasi ini.
Penulis: Farah Ayuni Farinordin, Nabilah Zainol, Nor Azliza Ismail, Muhammad Farhan Abd Wahab, Nor Lailatul Wahidah Musa, Nur Thabitah Shaikh Nasir