29 APRIL 2024 – Program Diploma Pemulihan Cara Kerja, dari Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam telah mengadakan suatu sesi pengajaran kolaboratif dengan pihak hospital tempatan. Penceramah jemputan iaitu Encik Ummar Bin Ramli, Jurupulih Perubatan Cara Kerja dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh telah dipanggil untuk memberikan ceramah dan demonstrasi membuat splint kepada para pelajar. Beberapa splint yang telah direka bentuk termasuk, Resting Hand Splint, Anti-spasticity splint, Ankle Foot Orthosis, Wrist Cock-Up Splint, Mallet finger splint, Samento Splint, Knee extension splint dan Thumb Spica splint.
Splint adalah sejenis alat yang digunakan untuk menyokong anggota badan yang patah, terseliuh atau cedera yang digunakan sebagai alat penyokong dan mengunci pergerakan anggota tersebut. Kekerapan rawatan splinting ini terbukti apabila Terapi Carakerja adalah profesyen yang terlatih dan pakar dalam mengfabrikasi atau membuat splint kepada golongan kurang upaya daripada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak berkeperluan khas. Di hospital, Jurupulih Cara Kerja akan melakukan penilaian dan rawatan ‘splinting’ kepada pesakit. Oleh itu, para pelajar semester 4, dari diploma pemulihan cara kerja telah didedahkan dengan teknik-teknik pembuatan serta perkembangan terkini dalam rawatan ‘splinting’ kepada pesakit. Latihan amali telah dijalankan bagi setiap jenis splint yang terlibat.
Kolaborasi dengan pihak industri seperti ini dapat memberikan nilai tambah dalam pengajaran makmal serta rawatan ‘splinting’ pemulihan cara kerja. Hal ini dapat memberikan sedikit persediaan kepada para pelajar untuk berdepan dengan situasi sebenar semasa latihan industri pada semester 5 kelak bagi rawatan splinting kepada pesakit luka terbakar, rheumatoid arthritis, de’Quervein tenosynovitis, mallet finger, wrist drop, foot drop, congenital talipes equinovarus (CTEV), spina bifida, cerebral palsy dan lain-lain.
Para pelajar sangat tekun mempelajari setiap tunjuk ajar yang diberikan dan mencuba sendiri untuk mereka bentuk splint yang diajar. Pengalaman ini sangat bermakna buat semua pelajar untuk lebih memahami teknik yang betul dalam mereka bentuk splint bermula dari mengambil ukuran anggota badan, mereka bentuk paten, menggunting termoplastik, mereka bentuk acuan pada anggota badan dan menyuai padan pada anggota badan. Kemahiran pada setiap fasa pembuatan splint ini harus dikuasai oleh para pelajar untuk menghasilkan splint yang berkualiti dan menepati fungsi serta kehendak pesakit.
Cara penjagaan splint, teknik pemakaian dan kebersihan splint juga amat ditiitik beratkan oleh penceramah semasa sesi ceramah berlangsung. Hal ini dapat memberikan pengetahuan kepada pelajar untuk mengingatkan pesakit akan cara penggunaan splint yang betul semasa memakai splint agar mencapai objektif rawatan.
Penglibatan pihak industri yang terdiri daripada jurupulih cara kerja yang berpengalaman telah dapat memberikan impak positif kepada pelajar dan program pemulihan cara kerja. Para pelajar dapat mengetahui kes-kes rawatan splint yang terkini, model splint terbaharu, serta teknik penjagaan splint. Pensyarah kursus serta pegawai pemulihan cara kerja di kampus juga telah mengadakan sesi perbincangan dua hala di antara pihak universiti dan industri untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam pembuatan splint bagi jenis-jenis splint yang sering dirujuk melalui kes-kes orthopedik dan neuro surgikal di hospital termasuk resting hand splint, anti-spastic splint, cock up splint, elbow extension splint, knee extension splint dan resting ankle foot orthosis (AFO). Kemahiran penilaian dan rawatan splint yang tinggi dalam kalangan para pelajar sedikit sebanyak dapat meningkatkan keyakinan diri pelajar serta mengurangkan pembaziran thermoplastik yang diguna pakai di hospital semasa latihan industri.