Kerjasama Baik PTAR Kompleks Alam Bina dan Seni Reka (PKABS) dalam Projek Pelajar FSPU Puncak Alam

PTAR Kompleks Alam Bina dan Seni Reka (PKABS) yang terletak bersebelahan dengan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), dan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam merupakan salah satu unit Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM. Bersesuaian dengan lokasinya, PKABS menawarkan koleksi rujukan bidang alam bina dan seni reka dalam bentuk fizikal dan digital.

PKABS bukan sahaja menjadi pusat rujukan bagi pengajaran dan pembelajaran, malah memberi sokongan kepada proses pembelajaran melalui aspek yang lain. Perkara ini dilihat daripada kerjasama baik yang diberi oleh pihak pengurusan PKABS dalam projek pelajar Program Sarjana Muda Senibina Dalaman semasa sesi pertama tahun 2020. PKABS telah terlibat sebagai tapak bagi projek perpustakaan akademik oleh pelajar semester kedua, di mana para pelajar juga didedahkan dengan kepentingan khidmat dan sumber perpustakaan dalam proses pembelajaran mereka lebih-lebih lagi di era digital teknologi masa kini.

Seramai 54 orang pelajar berserta enam pensyarah dari Pusat Pengajian Senibina Dalaman (PPSD) telah membuat lawatan tapak di PKABS pada 2 Mac 2020. Puan Shahidatul Akhmam Rambeli selaku Pustakawan Kanan PKABS pada sesi tersebut telah menyambut mesra kehadiran para pelajar dan memberi taklimat berkenaan misi dan visi PTAR, khidmat PKABS yang ditawarkan kepada pengguna, serta keperluan pengurusan perpustakaan sebagai klien dalam projek senibina dalaman tersebut.

Selari dengan visi PTAR iaitu untuk membina UiTM sebagai Universiti Sains, Teknologi, Kemanusiaan dan Keusahawanan yang terkenal di seluruh dunia, dan misi PTAR iaitu untuk menerajui perkembangan Bumiputera profesional yang tangkas melalui kurikulum terkini dan penyelidikan yang berkesan, PKABS sentiasa komited dalam menyediakan persekitaran kondusif, perkhidmatan terbaik dan sumber daya bertaraf dunia untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di UiTM.

Pihak pengurusan PTAR juga telah bertindak proaktif semasa berlakunya krisis pandemik Covid-19 dengan memberi khidmat sumber elektronik melalui pangkalan data dalam talian (e-Resources: Online Database) bagi kegunaan semua warga UiTM di rumah semasa proses ‘Open and Distance Learning’ (ODL) sepanjang tahun 2020. Selain daripada itu, tahun 2020 menampakkan peningkatan jumlah sumber rujukan fizikal yang terkini dalam bidang alam bina dan seni reka di PKABS, yang membolehkan pengguna meminjam bahan rujukan dalam jangka masa yang lebih lama untuk memudahkan proses ODL dan bekerja dari rumah.