Umumnya kita mengetahui Malaysia memiliki satu bentuk sistem politik dan pemerintahan yang unik yang mana demokrasi berparlimen raja berperlembagaan telah menjadi teras utama bagi keberlangsungan Malaysia tercinta. Kombinasi dua sistem ini dalam sebuah negara majmuk telah melakarkan satu sistem pentadbiran yang sistematik dan unggul. Hak asasi terus terbela di bawah arus demokrasi berlandaskan lunas Perlembagaan Persekutuan bersama kedaulatan Yang Dipertuan Agong, Malaysia
Perlantikan Yang Dipertuan Agong melalui perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) sebagai Yang Di Pertuan Agong yang ke 16, merupakan satu titik permulaan tuanku Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalankan tugasnya sebagai ketua negara pada sebuah negara yang bernama Malaysia.
Persetujuan dan perkenan tuanku menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari 2019 selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016, merupakan satu tangungjawab yang tidak boleh diambil mudah.
31 Januari 2019 merupakan titik tolak pertemuan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama rakyat jelata sebagai raja berdaulat sebuah negara iaitu Yang Dipertuan Agong ke-16 Malaysia. Tempoh lima tahun yang diamanahkan kepada tuanku sultan untuk mengemudi negara tercinta merupakan tempoh yang mencabar keupayaan tuanku dalam memastikan Negara Malaysia terus teguh di mata dunia.
‘Kerajaan Beta’ yang mula menjadi viral setelah terucapnya dari titah tuanku Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 , telah mencetuskan ‘tag line’ kepada rakyat sekalian. Mungkin ada yang berpendapat ia seolah membesarkan diri, tetapi ia sama sekali bukan lah menjurus kepada apa yang ditafsirkan secara mudah dan ringkas kata.
Perlu dingatkan jawatan Yang Di Pertuan Agong merupakan jawatan pemerintahan tertinggi Malaysia, yang telah diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu bagi memegang tampuk pemerintahan negara secara bergilir-gilir di kalangan 9 sultan yang ada. Peranan YDPA bukan hanya setakat mengetuai sebuah negara tetapi mengepalai segala perkara di dalam pentadbiran negara. Peranan ketua agama pula oleh tuanku pastinya berlandaskan akhlak yang mulia lagi terpuji. Ia bagaikan seorang khalifah dimukabumi yang diutuskan menjaga kedaulatan agama, keselamatan dan kemakmuran negara berpaksikan tunjang kebesaran yang ada.
Walaupun Yang di-Pertuan Agong bukan la ketua badan eksekutif, yang mana kuasa eksekutif itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang diperuntukkan dalam Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan (Perkara 39), namun tuanku merupakan seorang ketua negara yang berkuasa mutlak dalam membuat keputusan, di atas tiket pemerintahan tertinggi Malaysia.
Jika setiap keputusan Jemaah menteri dan kabinet wajar mendapat perkenan tuanku, apatah lagi keputusan yang dibuat oleh tuanku sendiri khususnya ke atas perlantikan memanda Perdana Menteri iaitu nakhoda yang bakal melayari bahtera Malaysia. Walaupun mendapat nasihat dari pengurusan tertinggi, tuanku juga boleh menggunakan budi bicaranya melantik sesiapa sahaja yang pada hematnya bersesuaian dengan jawatan tersebut untuk memegang jawatan Perdana Menteri sekaligus mengetuai Kabinet. Sejauh mana kebijaksanaan ‘jurumudi’ mengemudi bahtera Malaysia ini sudah pasti diselidiki sedalamnya oleh tuanku. Justeru pemilihan perdana menteri di atas perkenan tuanku Yang dipertuan Agong sama sekali tidak wajar disangkal. Apa yang jelas kerajaan Malaysia adalah kerajaan milik yang dipertuan Agong, sekalipun bertukar ahli kabinet baru, perlu diperjelaskan hanya jurumudinya yang bertukar, Malaysia tetap dibawah keRAJAan tuanku di bawah naungan Yang Di pertuan Agong.
Perjalanan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong bukanlah semudah yang disangka. Jika diamati sedalamnya, pelbagai isu yang bermain dalam arena politik negara. Namun kebijaksanaan tuanku dalam menangani krisis politik telah berjaya menyelamatkan Malaysia dari terus dihanyut ke kancah politik yang tidak menentu. Hasrat tuanku ke atas penyatuan dan kemakmuran rakyat berbilang kaum di dalam negara tanpa sogokkan dengan api permusuhan dan perpecahan membuktikan tuanku lah payung perpaduan.
Sifat seorang khalifah di dalam diri tuanku semakin jelas dengan keprihatinan tuanku ke atas rakyat jelata dalam menghadapi kemelut pandamik COVID 19. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan agar kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan bermula Mac hingga Ogos 2020 semata-mata bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19
Pengorbanan Yang di-Pertuan Agong dalam bersama-sama mengharungi masalah negara merupakan satu akhlak yang terpuji dan wajar diteladani. Malah titah penanguhan ke atas acara Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku jua membukti tuanku benar-benar seorang raja yang berjiwa rakyat yang tinggi sifat keprihatinannya.
Gesaan Tuanku ke atas perlaksanaan yang teliti terhadap PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) cukup menzahirkan keprihatinan tuanku terhadap kebajikan rakyat jelata agar PENJANA berjaya memberi manfaat kepada semua kumpulan sasaran sekaligus merancakkan ekonomi rakyat, tidak kira bangsa maupun kaum dari pelbagai lapisan masyarakat, industri dan perniagaan. Malah kelangsungan hidup rakyat sekalian terus menjadi agenda tuanku dalam terus mentadbir negara tercinta ini tidak kira apa situasi yang mendatang.
Dalam mendepani cabaran COVID 19, tuanku tidak kekok turun padang membuat lawatan ke pusat pengoperasian pengendalian kes COVID-19 bagi seluruh negara. Dalam keterbatasan aktiviti ketika ini juga tuanku dijangka akan ke beberapa lokasi bagi mendekati golongan yang memerlukan antaranya pusat gelandangan, pusat jagaan anak-anak yatim dan pusat jagaan orang-orang tua. Tuanku juga tidak segan untuk memantau pergerakan trafik di ibu negara pada peringkat awal PKP semata-mata maukan keselamatan rakyat terbela.
Menerusi teknologi media masa kini, rakyat merasa begitu dekat dengan tuanku. Teknologi dihujung jari juga telah memberi ruang seluasnya kepada rakyat jelata untuk lebih mengenali siapa diri tuanku. Apa yang jelas, tindak tanduk tuanku sendiri menjadi tumpuan rakyat jelata. Apa tidaknya apabila tuanku sendiri dalam keadaan tertentu sanggup mengenepikan kedudukan dan protokol semata-mata mahu menyantuni rakyat jelata.
Itu la diri sebenar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. ‘Kerajaan Beta’ yang dilaungkan bukan lah sebarangan kerajaan, tetapi kerajaan yang akan sentiasa menaungi rakyat jelata, tidak kira tua maupun muda.
Bersempena dengan Ulangtahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kami rakyat jelata mendoakan agar tuanku berdua terus menjadi payung perpaduan, mendaulatkan kemakmuran negara atas nama cinta dan kasih pada Malaysia keseluruhannya.
Bulat bicara Sembilan sultan
Adil dan saksama tekadkan keputusan
Bersemayan agong bukan sembarangan
Memayungi rakyat pelbagai taulan
Agong bertahta mencipta lagenda
Sumbangan kasih buat rakyat terpana
Pengorbanan yang tulus seorang raja
Mahukan rakyat terus terbela
Daulat Tuanku.
Dirgahayu Tuanku
Prof. Madya Sr. Dr. Rohayu Ab Majid
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM