Kemuncak Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Universiti Teknologi MARA, Shah Alam

SHAH ALAM, 3 DISEMBER 2024 – Majlis Kemuncak Penutupan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Universiti Teknologi  MARA (UiTM) Shah Alam telah yang dianjurkan oleh Akademi Pengajian Bahasa dan Persatuan Bahasa Melayu Komunikasi Profesional dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah dan Kolej Kediaman Melati UiTM Shah Alam disempurnakan oleh Ybrs. Prof. Dr. Amer Shakir Zainol, Penolong Naib Canselor  (Pemerkasaan Adiwangsa) bertempat di Dewan Platinum Kolej Kediaman Melati UiTM Shah Alam. Bertemakan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 disambut bagi memenuhi matlamat pelaksanaannya, yang bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh serta mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia serta memberi penekanan terhadap pemerkasaan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan bahasa rasmi dalam sektor pendidikan di Malaysia.

Penganjuran sambutan ini bermula pada 8 November sehingga 3 Disember 2024. Pelbagai acara bahasa dipertandingkan pada sambutan kali ini, seperti pidato, pantun, sajak, video pendek, serta nyanyian lagu tradisional dan rakyat, yang pastinya akan menyemarakkan lagi budaya kecintaan terhadap bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan warga UiTM.  Selain itu, pengisian akademik dalam bentuk perkongsian ilmu melalui ceramah tokoh dan forum bual bicara juga, antara program yang dilaksanakan. Penyertaan terbuka kepada seluruh warga UiTM serta Universiti Awam dan Swasta yang lain. Semua aktiviti yang dipertandingkan dinilai oleh para juri yang berwibawa. Syabas dan tahniah di ucapkan kepada para pemenang.

Majlis Kemuncak Penutupan ini juga diserikan lagi dengan Persembahan Rebab Melayu Tali Tiga dan Paluan Melayu oleh Kamrul Hussin dan Orkestra Tradisional UiTM (OTU), Konservatori Muzik, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK). Hadir sama memeriahkan majlis ialah YBrs. Puan Roziah binti Md Yunus mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry, Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah YBrs. Profesor Dr. Anealka binti Aziz Hussin, Timbalan Dekan Akademik, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA, YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Aizam binti Adnan, Pengetua Kolej Melati, Universiti Teknologi MARA, YBrs. Dr. Rozaimah binti Rashidin, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA, merangkap Penasihat I Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024, Dekan-dekan dan timbalan-timbalan dekan.

Sambutan ini merupakan satu tanda penghormatan yang tiada tara, apabila Akademi Pengajian Bahasa turut mengangkat nama UiTM dalam usaha menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024. Secara tidak langsung, program seumpama ini dapat mengangkat bahasa dan menjulang bangsa pada peringkat global.

Penulis: Norita Harijaman