Kempen Komunikasi Kesihatan bersama Komuniti Orang Asli Kampung Kelewang, Royal Belum

Para staf pentadbiran dan akademik Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM bersama komuniti orang asli Kampung Kelewang, Sg Tiang, Royal Belum

Para staf pentadbiran dan akademik Fakulti Komunikasi & Pengajian Media,UiTM Shah Alam telah menjayakan satu program CSR kempen komunikasi kesihatan bersama komuniti orang asli Kampung Kelewang, Sg Tiang, Royal Belum pada 24 Ogos 2019 (Sabtu).

Program anjuran “MCAdminClub” telah disertai oleh 32 orang staf pentadbiran,pensyarah dan sukarelawan dari Fakulti Komunikasi & Pengajian Media serta 2 penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia telah menjayakan program berkenaan dengan memberi penekanan kepada kempen komunikasi kesihatan di kalangan penduduk orang asli Kampung Kelewang yang merupakan kaum Jahai di Sg Tiang, Royal Belum, Gerik Perak.

Aktiviti yang telah dijalankan adalah mendekati anak-anak orang asli yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit panau, cacing, demam serta selsema yang sering dialami oleh kanak-kanak orang asli berkenaan.Demonstrasi penggunaan ubat-ubatan yang telah didermakan oleh para sukarelawan telah dijalankan dan diterangkan kepada mereka.

Selain itu,pemberian berbentuk barangan kebersihan asas seperti sikat, bedak, berus gigi , ubat gigi dan sabun juga telah diagihkan kepada 37 keluarga orang asli Kampung Kelewang tersebut.

Selain itu, aktiviti mewarna bendera Malaysia juga turut di adakan di kalangan 40 orang kanak-kanak orang asli bagi menyemarakkan semangat sayangkan negaraku Malaysia. Rata-rata kanak-kanak orang asli ini mengenali warna-warna yang terkandung dalam bendera Malaysia.

Menurut Pengarah Projeknya, En Mohd Rafede Abdul Aziz, program ini adalah bertujuan untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti orang asli berkaitan penjagaan diri dan kesihatan dan memupuk tanggungjawab sosial dan kesukarelawanan dikalangan para staf di Fakulti Komunikasi & Pengajian Media.

Dengan adanya aktiviti CSR seperti ini, para staf MassComm dapat mendekati secara dekat komuniti orang asli kaum Jahai dengan berinteraksi dengan mereka tentang pentingnya kebersihan diri serta cara penggunaan ubat-ubatan.  Selain itu, aktiviti mewarna bendera Malaysia juga dapat menyemarakkan suasana cintakan negara dengan mengenali bendera Malaysia dengan tepat”, katanya.

Secara keseluruhannya, perjalanan ke kampung orang asli yang mengambil masa 5 jam dari Jeti awam Tasik Banding menggunakan jalan air sangat bermakna dan memberikan pengalaman baru yang menakjubkan di kalangan para peserta program dalam usaha menitikberatkan semangat kesukarelawanan di kalangan para staf pentadbiran dan akademik di Universiti Teknologi MARA dimana pada masa akan datang para peserta ini boleh di daftarkan sebagai sukarelawanan peringkat universiti yang bakal dilancarkan oleh Pejabat Jaringan Komuniti, ICAN, UiTM Shah Alam.

Disediakan oleh : Salmiwati Othman, Timbalan Pendaftar
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media

1
0