Kempen Kesedaran “Plastic Buster Awareness in Ramadan Persatuan RASC dan Jabatan Alam Sekitar

Shah Alam, Selangor – 21 Mac 2024 dan 27 Mac 2024 – Persatuan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UiTM SC) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah memperkenalkan kempen “Plastic Buster” selama dua hari bagi memberi kesedaran kepada pengunjung Bazar Ramadhan Seksyen 7 pada 21 Mac 2024 dan Seksyen 13, Shah Alam pada 27 Mac 2024. Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengurangkan penggunaan plastik di bazar ramadan secara tidak langsung bertanggungjawab mempromosikan inisiatif yang lebih baik demi memelihara alam sekitar. 

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UITM SC), Nur Baizatul Emylia merangkap pengarah program, dan sokongan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor yang turut bersama menjalankan kempen ini, berkata dengan adanya kempen Plastic Buster Awareness in Ramadhan ini telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelbagai lapisan masyarakat di Shah Alam, termasuk pengunjung dan penjual di bazar Ramadan, dalam usaha untuk melestarikan alam sekitar sekaligus menyambut baik Hari Bumi yang jatuh pada 22 April 2024. Beberapa pegawai dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam juga tidak melepaskan peluang bagi membantu dalam mengimarahkan kempen ini. Menerusi penganjuran kempen ini, Sustainable Development Goals (SDG) dalam aspek pendidikan telah dicapai dengan memberi pendedahan supaya menggunakan bekas makanan dan beg sendiri berbanding plastik. 

Mengulas lebih lanjut, Timbalan Presiden RAS UiTM SC itu menjelaskan antara daya usaha diambil adalah dengan memberikan beg jinjing atau “shopping bag” guna semula kepada pengunjung mahupun peniaga bazar ramadhan secara percuma. Selain itu, usaha yang kami bawakan adalah dengan mengedarkan risalah langkah mudah bagi mengurangkan penggunaan plastik di bazar ramadan disertakan dengan sesi penerangan ringkas mengenai pengurusan penggunaan plastik. 

Pelaksanaan kempen ini telah dijalankan melalui pelbagai aktiviti menarik. Usaha penglibatan komuniti ini tidak terhenti di situ sahaja malah pengunjung turut disediakan dengan aktiviti yang menarik seperti kuiz teka silang kata yang berkonsepkan “Say No to Plastic’’. Ini merupakan tahun kedua RAS UiTM SC melaksanakan kempen yang bertemakan no single use plastic di bulan ramadhan bagi menangani isu alam sekitar.

Kami komited untuk mewujudkan masyarakat yang mampan dan prihatin terhadap alam sekitar, seperti yang ditunjukkan oleh kempen ini melalui penglibatan masyarakat dan pendidikan di bazar ramadan Shah Alam. “Kami berusaha untuk memberi pendedahan awal tentang cara yang mudah untuk mengurangkan penggunaan plastik sepanjang bulan Ramadhan”, kata Nur Ain Mohd Zainuddin, Penasihat RAS UiTM SC. Beliau juga menekankan bahawa RAS UiTM SC akan meneruskan pelaksanaan kempen ini bukan sahaja pada bulan ramadhan malah akan diteruskan lagi melalui pelbagai program lain seperti bengkel No Single Use Plastic dan E-Tiktok Challenge. 

Akhir sekali, menerusi kempen ini sukarelawan daripada pelajar UiTM Shah Alam dapat melatih meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang lebih baik dan meningkatkan keyakinan diri semasa menerangkan kesedaran tentang kepentingan mengurangkan penggunaan plastik kepada orang awam. 

Penulis Utama : Ts Nur Ain Binti Mohd Zainuddin,  Nur Baizatul Emylia Binti Ishak, Farah Adibah Binti Fauzi dan Hanim Zafirah Binti Hilmi Faiz