Program Kembara Lestari ke Bumi Kenyalang merupakan program lawatan akademik ke negeri Sarawak yang pertama kali diadakan oleh pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Pembinaan, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak. Kembara Lestari selama empat hari pada 25-28 April 2024 telah disertai oleh 35 orang pelajar dan diiringi oleh tujuh orang pensyarah. Negeri Sarawak telah dipilih sebagai destinasi pertama Kembara Lestari kerana peluang untuk mempromosi program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Pembinaan kepada pelajar Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Sarawak, mempelajari dan memahami keunikan etnik dan sosio budaya komuniti, warisan senibina dan alam sekitar. Tumpuan utama kembara ini ialah pendedahan kepada para peserta berkenaan elemen kelestarian pada binaan rumah panjang tradisional yang dilawati.
Pada hari pertama lawatan, program kembara dimulai dengan aktiviti promosi program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Pembinaan (CFAP266) kepada para pelajar Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Kota Samarahan. Ketibaan peserta kembara telah disambut dengan meriah oleh Sr Dr Asmah Alia Mohamad Bohari, Ketua Pusat Pengajian Senilukis Senireka Senibina Perancangan & Ukur, Penyelaras Program Diploma Teknologi Binaan (CFAP126), Encik Mohd Asraf Ayob dan para pensyarah program CFAP126. Koordinator Program CFAP266, Ts Dr Wan Nur Syazwani Wan Mohammad telah memberikan taklimat pengenalan program kepada para pelajar Diploma Teknologi Binaan. Seramai 100 orang pelajar Diploma Teknologi Binaan (bahagian 4 dan 6) telah hadir dan menyertai aktiviti suai kenal dan berinteraksi dengan peserta kembara. Selain mempromosikan program, aktiviti sebegini dapat merapatkan hubungan silaraturahim peserta kembara dengan para pelajar di UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Kota Samarahan.
Aktiviti pada hari pertama diteruskan dengan kembara ke Rumah Panjang(Rh) Baling di Bintangor. Perjalanan melalui Lebuhraya Pan Borneo dengan menaiki sebuah bas dan sebuah van telah mengambil masa selama lebih kurang empat jam. Cuaca sangat baik di sepanjang perjalanan, namun hujan mulai turun setibanya peserta kembara di hentian sebelah Saratok untuk berehat seketika dan membeli makanan. Perjalanan seterusnya berjalan lancar. Ketibaan peserta kembara di Rh Baling, telah disambut dengan mesra dan meriah oleh penduduk rumah panjang tersebut. Acara sambutan ketibaan peserta kembara telah diketuai oleh Tuan DSP Sekam Anak Anoi dan isterinya, Puan Maria Anak Valentine Kapat. Ketibaan peserta kembara di Rh Baling diraikan dengan tarian Ngajat Bealu-alu atau Ngajat Ngalu Pengabang dan diiringi oleh alunan alat muzik tradisional Sarawak seperti Bebendai, Tawak, Engkerumung, dan Dumbak. Para peserta telah dibawa mengelilingi Rh Baling mengikut adat menyambut tetamu kaum Iban, sebelum dijemput menikmati hidangan tradisi iaitu ayam pansuh, sayur midin, gulai lemak umbut kelapa, dan terung asam. Selepas makan malam, sesi perkenalan dan ucapan aluan disampaikan oleh Tuan Sekam dan Tr. Baling Anak Unggong. Rh Baling diketuai oleh Tr. Baling Anak Ungong, telah bertambah daripada lapan pintu pada tahun 1997 kepada 22 pintu pada tahun 2024. Pertambahan ini mencerminkan perkembangan, kemajuan serta kekuatan komuniti ini. Sebelum Rh Baling didiami pada tahun 1997, rumah panjang yang asal terletak di tebing Sg. Meradong yang dibina pada tahun 1985. Acara sambutan diakhiri dengan sesi mencuba pakaian tradisional kaum Iban, bermain alat muzik tradisional dan melihat demonstrasi memasak kuih sarang semut (kuih jala) dan kuih cuan (penganan cuan). Kesemua peserta kembara menginap di bilik yang telah disediakan oleh penduduk rumah panjang ini. Peluang ini memberikan pengalaman kepada peserta untuk lebih mempelajari budaya kaum Iban dan kehidupan di rumah panjang.
Seterusnya pada 26 April 2024 iaitu hari ke dua kembara, para peserta meneruskan kembara lestari ke Rumah Panjang Nyalak Ladong, Pakan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam. Para peserta telah didedahkan dengan budaya dan rekabentuk rumah panjang tradisional dan moden. Rumah panjang tradisional ini telah dibina pada tahun 1845 dengan menggunakan kayu yang keras dan tahan lasak seperti kayu belian. Manakala bumbungnya pula menggunakan atap kayu belian dan daun rumbia seperti Biru, Pantu, Mulong dan jenis daun tebal. Struktur dinding dan lantainya pula diperbuat daripada kayu belian, kulit kayu dan buluh. Rekabentuk rumah panjang kaum Iban di Sarawak sangat unik dan menarik. Ruang bilik (pintu) yang bersebelahan dan membentuk rumah panjang itu merupakan pecahan bahagian mengikut jumlah keluarga yang tinggal di rumah panjang tersebut. Rumah panjang tradisional yang dilawati ini mempunyai 74 pintu dan setiap keluarga akan berkongsi ruang yang dinamakan “ruai”. Walaubagaimanapun, rumah panjang moden telah dibina untuk menggantikan rumah panjang tradisional atas pelbagai faktor. Para peserta juga berpeluang melawat rumah panjang moden yang telah dibina di kawasan yang sama. Terdapat tiga blok rumah panjang moden. Blok pertama dan kedua mempunyai 23 pintu di setiap blok manakala blok ketiga mempunyai 14 pintu. Seperti rumah panjang tradisional, rumah panjang moden juga mempunyai “ruai”. Rekabentuk rumah panjang moden yang masih mengekalkan konsep rumah panjang tradisional juga sangat cantik dan menarik. Rumah panjang moden dibina daripada bahan binaan moden seperti bata dan konkrit. Keunikan rekabentuk rumah panjang menjadi identiti masyarakat kaum Iban di Sarawak. Mereka hidup secara harmoni di bawah satu bumbung. Adat tradisi sentiasa dikekalkan dan dijunjung tinggi oleh kaum Iban dan menunjukkan mereka kuat mempertahankan adat dan tradisi.
Setelah dua malam di Rh Baling, para peserta kembara meneruskan aktiviti kembara pada hari ke tiga (27 April 2024) ke bandaraya Kuching. Aktiviti kembara dimulakan dengan menyaksikan proses yang rumit dan teliti untuk menyediakan kek lapis Sarawak di salah sebuah kedai kek lapis yang terkenal di bandaraya Kuching. Kemudian, peserta kembara melawat kawasan Kuching Waterfront dan Old Court House iaitu sebuah bangunan kolonial yang dibina pada zaman Charles Brooke. Perjalanan diteruskan ke Bazar Tradisional Utama Kuching, satu deretan kedai yang menawarkan hasil seni sehinggalah rempah ratus tempatan. Seterusnya para peserta berjalan di sepanjang tebing Sungai Sarawak dan menaiki bot ke Kampung Boyan yang terletak di seberang sungai untuk menikmati makanan tempatan seperti mee kolok, laksa Sarawak dan air teh tiga lapis yang terkenal. Kembara diteruskan dengan lawatan ke jambatan Darul Hana dan menikmati pemandangan Fort Margherita yang ikonik yang dibina pada tahun 1879. Benteng bersejarah ini mencerminkan warisan Sarawak dan memainkan peranan penting dalam melindungi Kuching semasa zaman pemerintahan Brooke. Para peserta kembara juga berpeluang menonton pertunjukan air pancut berirama dan hiasan berlampu, dan bergambar kenangan di monumen kucing yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Setelah seharian aktiviti kembara di bandaraya Kuching, para peserta berehat di kolej penginapan di UiTM Cawangan Sarawak, kampus Kota Samarahan untuk bersedia menghadapi pengembaraan pada hari berikutnya.
Pada hari terakhir kembara, seawal jam 6.30 pagi, kesemua peserta telah bersedia untuk memulakan perjalanan ke Pasar Serikin. Ketika berkunjung ke Pasar Serikin, para peserta dapat merasai suasana pasar tradisional yang penuh warna-warni di mana pengunjung boleh menikmati membeli barang-barang kraftangan tempatan, tekstil tradisional, dan hasil pertanian segar. Pasar ini terkenal dengan pelbagai produk etnik Sarawak seperti kain songket, manik-manik, dan barangan seni kulit. Di samping itu, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai hidangan tempatan yang lazat seperti laksa Sarawak, mee kolok dan kuih tradisional yang lazat. Pengalaman membeli-belah di pekan Serikin bukan sahaja memberikan peluang untuk membeli produk tempatan yang unik, tetapi juga memperkaya pengetahuan tentang budaya dan gaya hidup komuniti setempat. Destinasi terakhir sebelum penerbangan pulang ke Kuala Lumpur ialah Borneo Cultures Museum. Lawatan ke Borneo Cultures Museum memberi peluang kepada peserta kembara meneroka warisan budaya pelbagai etnik dan kaum di Sarawak. Di muzium ini, peserta dapat belajar mengenai sejarah, adat istiadat, dan kebudayaan masyarakat Sarawak melalui koleksi artifak yang menarik, pakaian tradisional yang mengagumkan, dan pameran penuh berinformasi. Lawatan ke Borneo Cultures Museum memberikan pengetahuan kepada peserta kembara untuk lebih memahami warisan budaya yang kaya dan membanggakan di negeri Sarawak.
Kesimpulannya, program Kembara Lestari ke Bumi Kenyalang yang padat dengan aktiviti mengenali keunikan etnik dan sosio budaya komuniti di Sarawak serta pendedahan kepada elemen kelestarian pada binaan rumah panjang tradisional telah memberi pengalaman dan pengetahuan yang amat berharga kepada semua peserta kembara. Para peserta telah peluang berinteraksi dengan komuniti serta bertukar-tukar fikiran serta kemahiran di dalam mengenali adat dan budaya kehidupan mereka. Selain itu, aktiviti kembara yang dirancang dapat meningkatkan ketampakan program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Pembinaan di UiTM Cawangan Perak.