Kembara Ilmu Bersama SMK Jalan Kota Tinggi

Kembara Ilmu Bersama Guru guru SMK Jalan Kota Tinggi

Akademi Pengajian Bahasa (APB) dengan berbesar hati telah menerima kunjungan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kota Tinggi, Kluang, Johor yang terdiri daripada 40 pelajar tingkatan 5 bersama 4 guru pengiring pada 25 Julai 2019 yang lalu.

Kembara Ilmu ini adalah projek serampang dua mata iaitu sokongan APB terhadap Program HIP (High Immersive Program) yang dilaksanakan di sekolah untuk mendedahkan para pelajar kepada suasana kampus dan juga merupakan sumbangan APB kepada masyarakat.

Aktiviti ini selari dengan Perancangan Strategik 2020 yang digariskan oleh Dekan APB, Prof. Madya Dr. Hj. Ahmad Mazli Bin Hj. Muhammad yang berteraskan hubungan universiti dan masyarakat.

Kunjungan SMK Jalan Kota Tinggi disambut mesra oleh warga APB, diketuai oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar APB iaitu Tuan Haji Mohd Hassan Awang Boon dan Puan Zuraidar Badaruddin yang merupakan Penyelaras Korporat APB.

Para pelajar disajikan dengan pengisian yang ceria seperti hebahan informasi Program diploma LG120 dari Puan Hadayat Rahmah Hassan (Penyelaras LG120) dan juga perkongsian rahsia kecemerlangan alumni program LG iaitu Puan Maisarah Ahmad Kamil dan Cik Amirah Ahmad. Suasana bertambah ceria apabila pelajar diajar asas Bahasa Jepun oleh Puan Noor Aizah Abas, pensyarah Bahasa Jepun yang sangat peramah.

Sebelum rombongan meninggalkan kampus, mereka dibawa berkunjung ke Perpustakaan Tun Abdul Razak dan Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ) di UiTM Shah Alam. Mereka juga sempat berswafoto sebagai kenangan dan inspirasi di hadapan Dewan Agong Tunku Censelor.

Foto berkaitan:

0
0