15 OGOS 2024 – Istiadat Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) UiTM Se-Malaysia Kali Ke-9 Tahun 2024 yang bertempah di UiTM Shah Alam menjadi unik apabila kembar lelaki daripada UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka turut serta dalam istiadat yang berprestij ini.
Mohammad Harith Abdul Rahman bin Za’ba dan Mohammad Harith Abdul Rahim bin Za’ba yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan merupakan pelajar Diploma Pengurusan Ladang UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Minat dua beradik ini dalam ilmu kepolisan yang sangat tinggi memotivasikan mereka untuk menyertai SUKSIS sebagai aktiviti ko-kurikulum di Kampus Jengka.
Latihan yang dijalani seperti Latihan Asas Kepolisan (Inspektor), latihan pengendalian dan menembak senjata api, kelas undang-undang dan Kursus Asas Pasukan Gerak Am (PGA) dapat melahirkan graduan cemerlang yang turut memiliki pengetahuan undang-undang, kemahiran, berdaya saing, berdisplin, berketrampilan dan dilengkapi dengan nilai-nilai murni serta harga diri yang tinggi mengikut acuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
UiTM Cawangan Pahang sangat bertuah apabila dua beradik ini memainkan peranan yang penting di dalam istiadat perbarisan yang telah diadakan baru-baru ini. Abang kembar ini, Rahman, telah dilantik sebagai Sub-Inspektor (SI) yang bertanggungjawab untuk memastikan Kawalan Kehormat (KK) dan detachment masuk perbarisan sewaktu tamat latihan. Manakala adiknya, Rahim telah dipilih sebagai salah seorang pelatih di dalam KK yang menjadi detachment penting bagi mana-mana istiadat perbarisan.
Masing-masing bercita-cita ingin menjadi pegawai polis suatu hari nanti, sedang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perladangan di UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin. Kedua beradik ini layak untuk dijadikan sebagai role-model dan contoh terbaik kepada pelajar-pelajar UiTM dalam membahagikan masa untuk belajar dan memberikan komitmen dalam aktiviti ko-kurikulum di universiti.
Ucapan jutaan terima kasih kepada jurulatih-jurulatih SUKSIS UiTM Cawangan Pahang, Inspektor Intan Diana binti Bakri dan Sarjan Zani bin Ab Latiff yang banyak mengorbankan masa dan kudrat dalam mendidik dan mendisiplinkan pelatih-pelatih SUKSIS UiTM Cawangan Pahang.