Kem Sri Gading: Bukan Sekadar Hutan Pembelajaran

Pihak Pusat Pengajian Industri Perkayuan (PPIP) telah mewujudkan Kem Sri Gading yang merupakan salah satu kawasan hutan simpan untuk dipelihara. Persatuan pelajar UiTM Cawangan Pahang akan menggunakan kem tersebut bagi menjalankan aktiviti hari keluarga dan mempelajari teknik-teknik hidup dalam hutan. Kem tersebut mempunyai tandas wanita dan lelaki yang sentiasa dipastikan dalam keadaan baik. Pada waktu malam, terdapat bekalan elektrik yang dijana daripada generator elektrik yang dikendalikan oleh staf PPIP. Antara kemudahan lain yang terdapat di Kem Sri Gading ialah dewan, chalet, dapur, camp site dan dorm yang boleh menempatkan sehingga 150 orang pada satu masa. Kem tersebut juga digunakan oleh pihak sekolah bagi kegiatan tahunan mereka seperti kem motivasi dan ceramah kepada murid-murid yang akan menghadapi peperiksaan utama seperti UPSR, PMR dan SPM. Staf PPIP akan membantu terutamanya semasa aktiviti jungle tracking dan night walk. Pengguna kem akan dikenakan bayaran sebanyak RM5 bagi menampung kos penggunaan air dan elektrik.

Hutan pembelajaran yang diberi nama Kem Sri Gading ini menjadi tumpuan bukan sahaja kepada para pelajar PPIP itu sendiri, malah kem ini menyediakan sumber pembelajaran kepada pelajar-pelajar daripada program Sains, Kejuruteraan Awam dan Sains Sukan dalam aspek biodiversiti, biokomposit dan rekreasi hutan. Malah, saban minggu kem ini dikunjungi oleh badan-badan beruniform di kalangan pelajar UiTM, universiti tempatan dan antarabangsa dan juga pelajar-pelajar sekolah di sekitar negeri Pahang. Ini memenuhi Status Pelaksanaan Konsep Kesepunyaan dan Keserakanan (Commonlity & Collegiality [Akademik]) bagi tahun 2019.

Pada tanggal 26 Mac 2019, sambutan Hari Hutan Antarabangsa telah julung kalinya diadakan di sekitar kawasan Kem Sri Gading dan Tasik Pusat Pengajian Industri Perkayuan. Program ini adalah anjuran bersama Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Cawangan Pahang dan Pusat Pengajian Industri Perkayuan. Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Malaysia. Program ini turut melibatkan alumni PPIP dan komuniti setempat seperti pelajar-pelajar dan guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat 2 dan Sekolah Kebangsaan Jengka Pusat 2. Turut serta dalam menjayakan program ini adalah pelajar program Diploma Sains dan Diploma Industri Perkayuan UiTM Cawangan Pahang. Beberapa agensi kerajaan dan industri turut terlibat dalam menjayakan program ini seperti Jabatan PERHILITAN Malaysia, Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam (PEKA), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, MIECO Chipboard Sdn. Bhd., Malaysian Timber Industry Board (MTIB), Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC) dan Commonwealth Handling Equipment Pool (CHEP) Sdn. Bhd.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah program menanam pokok dan aktiviti mewarna bagi pelajar sekolah. Tujuan program ini diadakan ialah bagi menerapkan kesedaran kepada generasi baru akan kepentingan hutan dalam ekosistem kehidupan kita.

Pada 13 Jun 2019. Pusat Pengajian Industri Perkayuan telah menjayakan Program Tanaman Pokok bersama Industri-CHEP (M) Sdn. Bhd “Brambles Sustainability Day” di sekitar Tasik Perkayuan dan Kem Sri Gading. Sebanyak 100 anak pokok hutan pelbagai spesies telah ditanam. Antaranya ialah Balau Pasir, Meranti Temak Nipis, Karas, Merawan Siput Jantan, Keruing Kerut dan Damar Minyak. Dalam program ini, alumni PPIP yang terlibat ialah En. Ahmad Zaki bin Mohamed Hashim, Safety and Health Officer, daripada Commonwealth Handling Equipment Pool (CHEP) dan En. Muhamad Basri Bin Md Daud (Malaysian Timber Industry Board, MTIB).

Pada 8 hingga 10 November 2019, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang, telah mengadakan aktiviti perkhemahan di Kem Sri Gading. Seramai 40 orang pelajar SMK Kuala Tembeling dan 10 orang guru pengiring telah terlibat dalam aktiviti perkemahan tersebut, yang diketuai oleh Cikgu Sohaimi. Mereka juga dibantu oleh 3 orang staff Pusat Pengajian Industri Perkayuan, 10 orang Komander Kesatria UiTM Pahang dan pegawai daripada Unit Hal Ehwal Islan (UHEI) UiTM Cawangan Pahang bagi melancarkan aktiviti perkhemahan tersebut. Antara aktiviti yang dilakukan sepanjang aktiviti perkhemahan tersebut ialah aktiviti burung hantu, kuliah maghrib, senaman pagi, jungle tracking, pertandingan kawad kaki, kembara rimba, barbeque dan pertandingan kesenian dan kebudayaan.

Majlis penutup telah diadakan pada 10 November 2019, Ahad, bermula jam 11 pagi dan Ketua Pusat Pengajian Industri Perkayuan (PPIP) telah dijemput untuk menyempurnakan perasmian majlis penutup dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Dalam ucapan aluan-aluan oleh Pengetua SMK Kuala Tembeling, Cikgu Mahmad Basri Bin Idrus, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PPIP yang telah menerima pelajar-pelajar SMK Kuala Tembeling untuk mengadakan aktiviti di Kem Sri Gading dan berharap agar kerjasama seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

Diharap dengan adanya Kem Sri Gading ini, ia dapat memberi manfaat kepada semua pelajar UiTM, staf UiTM, pelajar sekolah, penduduk setempat dan pengunjung dari luar negeri Pahang.