Kem Perkampungan Ilmu (KPI) SPM 2022

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan sijil peperiksaan awam yang perlu diambil oleh semua pelajar sekolah berumur 16 atau 17 tahun semasa didaftarkan. Bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Lestari 4 (SDG 4) yang berdasarkan kepada pendidikan berkualiti, Unit Akademik, SMK Jengka Pusat 2 bersama-sama Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang telah merancang satu program khidmat masyarakat khusus demi peningkatan dan kecemerlangan akademik bagi pelajar-pelajar SPM. Program ini disasarkan kepada semua calon SPM 2022 SMK Jengka Pusat 2 dan lebih menjurus kepada perbengkelan mata pelajaran yang kritikal berdasarkan pencapaian dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2021 dan Ujian Penilaian Pertama 2022, dan telah diadakan pada 19 hingga 21 September 2022.

Program ini yang dikenali sebagai KEM PERKAMPUNGAN ILMU (KPI) SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) 2022 diadakan bagi mata pelajaran teras dan elektif berimpak tinggi mengikut kebolehpasaran semasa. Tujuannya untuk memberi perhatian khusus kepada semua calon SPM 2022 agar dapat melonjakkan pencapaian akademik dari segi syarat minimum kebolehpasaran SPM. Oleh itu, kem ini dibahagikan kepada 3 atau 4 kelompok pelajar mengikut tahap pencapaian semasa individu dan dikendalikan oleh seorang guru pembimbing mengikut kepakaran mata pelajaran masing-masing. Turut serta juga calon-calon SPM aliran sains dari SMK Jengka Pusat dan SMK LKTP Jengka 2.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program KPI SPM 2022 ialah Taklimat Pra Pengajian Tinggi (PPT) oleh En Mohd Zahid Laton, Koordinator PPT UiTM Cawangan Pahang dan Taklimat Program Diploma Sains oleh Dr Shaari Daud, Ketua Pusat Pengajian Sains Gunaan. Kedua-dua taklimat tersebut dijalankan untuk membuka mata para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM untuk tahun 2022, mengenai kepelbagaian bidang pengajian yang ditawarkan oleh UiTM, berdasarkan syarat kelulusan dan pencapaian mereka di dalam peperiksaan SPM.

Acara kemuncak program ini ialah pada majlis penutup yang dihadiri oleh ChM. Dr Norshahidatul Akmar Mohd Sohaimi, Koordinator Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) merangkap Wakil Rektor UiTM Cawangan Pahang, Tuan Haji Ahmad Nahran Haji Isha’, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Tuan Mohd Idris Chamingan, Pengetua SMK Jengka Pusat 2, Tuan Darussalam Taib, Pengetua SMK Jengka Pusat, dan Tuan Khatamarazi Mohd Ghaus, Pengetua SMK LKTP Jengka 2. Kehadiran En Mohd Risham selaku Felo Institut Kepimpinan Melayu yang juga merangkap Yang Di-Pertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Jengka Pusat 2 jugak turut memeriahkan suasana, kerana keterlibatan beliau dapat mengutuhkan lagi hubungan dua hala antara UiTM Cawangan Pahang dengan sekolah di sekitar Jengka.

Program seumpama ini diharapkan agar dapat memberi impak positif bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan Percubaan SPM dan SPM sebenar kelak, dan diharapkan agar dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang untuk menjadi titik tolak kepada peningkatan sumbangan UiTM terhadap pendidikan berkualiti para pelajar sekolah dan masyarakat setempat.