Pejabat Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Pahang (PJI) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) Agro Tech telah menganjurkan Program Kem Kepimpinan Khalifah Muda UiTM Pahang pada 8 – 11 September 2023 bertempat di UiTM Cawangan Pahang.
Seramai 196 orang Murid Tahun 6 daripada 15 sekolah Negeri Pahang telah menyertai kem ini. Sekolah yang terlibat adalah SK Kg Pagi, SK Kuala Sat, SK Ulu Tembeling, SK Bukit Mat Daling, SK Gusai, SK Kuala Tahan, SK Merting, SK Pasir Durian, SK Cherok Paloh, SK Ubai, SK Pulau Manis, SK Ganchong, SK Pulau Rusa, SK Merchong Jaya, dan SK Leban Chondong. Program ini berlangsung selama 4 hari dan 3 malam bermula 8 hingga 11 September 2023.
Objektif kem ini adalah untuk menerapkan dalam diri pemimpin-peminpin muda ini sifat bertanggungjawab, memperkasakan sifat kepimpinan dan sifat kerjasama antara murid. Ia juga bertujuan untuk menerapkan dalam diri pemimpin-peminpin muda ini sifat bertanggungjawab, memperkasakan sifat kepimpinan dan sifat kerjasama antara pelajar.
Pelbagai pengisian kerohanian, motivasi, latihan dalam kumpulan (LDK) dan beberapa aktiviti “outdoor” juga disediakan seperti menunggang kuda, memanah, senamrobik, sukaneka dan “jungle trekking”. Aktiviti ini juga dibantu oleh 42 orang Fasilitator yang terdiri daripada Pelajar UiTM Cawangan Pahang yang diketuai oleh En Mohamad Azrai Arif Bin Amli Mahfuz yang mana beliau merupakan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Pahang (Biro Kesukarelawan).
Majlis berakhir dengan upacara penutup yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Mohd Faizal bin Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan pemberian hadiah kepada peserta kem sebagai tanda penghargaan dan kenangan. Turut hadir memeriahkan program ini adalah Timbalan PPD Sektor Pembelajaran, Puan Sabariah Binti Mat Peah, Dato’ Lias Bin Mohd Noor, Pengarah Operasi Ladang Ulu Tembeling (PKNP AGRO-TECH), Prof. Dr Wan Mohd Nazri Bin Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor PJI UiTM Pahang dan Dr Nurrohana Ahmad, Koordinator ICAN merangkap Pengarah Program Kem Kepimpinan Khalifah Muda 2023.
Kemahiran memimpin, bekerjasama amat ditekankan di dalam sesebuah organisasi. Ia boleh dipertingkatkan dengan disiplin diri dan latihan dari masa ke semasa. Latihan kepimpinan hendaklah dilatih sejak dari sekolah lagi supaya dapat memberikan keyakinan dan kebolehan pada setiap murid untuk membina sahsiah diri untuk menjadi seorang yang cemerlang. Oleh itu, diharap program seperti ini dapat memperkasakan jati diri, menaikkan keyakinan dan motivasi kepada semua murid.
Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG) seperti SDG 3 (memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan pada semua peringkat umur), SDG 4 (memastikan pendidikan berkualiti, menyeluruh dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua) dan SDG 11 (menjadikan bandar dan penempatan manusia sebagai menyeluruh, selamat, berdaya tahan dan mampan). PJI UiTM Cawangan Pahang akan terus menyumbang kepada keperluan Universiti bagi meningkatkan lagi ranking Universiti dan menaikkan nama UiTM di mata dunia.