SHAH ALAM, 11-12 Januari 2025 – Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam, telah menjadi tuan rumah kepada Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri Ke-20, yang menarik penyertaan 2,447 pelajar kokurikulum semester pertama. Program ini merupakan salah satu inisiatif penting UiTM dalam membentuk mahasiswa yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah, dan spiritual.
Program ini mengangkat nilai keterangkuman dan kepelbagaian, memastikan semua pelajar mendapat manfaat daripada pengisian yang disediakan. Bagi pelajar Muslim, program ini memberi fokus kepada elemen kerohanian dan keagamaan, manakala pelajar bukan Muslim mengikuti modul Etika Sosial bagi memupuk sahsiah dan nilai moral yang seimbang.
Pelbagai pengisian telah disusun, termasuk Ceramah Pengurusan Jenazah, Ceramah Smart Solat, dan Ceramah Pengajian Al-Quran bagi pelajar Muslim. Sementara itu, pelajar bukan Muslim mengikuti Ceramah Etika Sosial bagi membentuk sahsiah, intelek, dan nilai moral yang seimbang.
Menurut Pengarah Program, KM Muhammad Nazrul Lufthi bin Khairul Anuar, “Kem ini adalah platform terbaik bagi mahasiswa memahami tanggungjawab mereka sebagai individu Muslim, memperkukuh semangat kerja berpasukan, dan menanam nilai kesukarelawan.”
Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP), turut menzahirkan rasa bangga terhadap pelaksanaan program ini. “Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri Ke-20 ini adalah bukti nyata bahawa UiTM komited dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan spiritual.”
Datuk Dr. Hasrol Jono, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, menyatakan bahawa program ini mencerminkan kesungguhan UiTM dalam menyediakan pengalaman pendidikan holistik kepada pelajarnya. “Melalui pendekatan bersepadu ini, UiTM dapat melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja berilmu tetapi juga memiliki keimanan yang mendalam dan jiwa yang murni.”
Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri Ke-20 telah memperkukuh nilai kerohanian dan sahsiah dalam kalangan pelajar Muslim, serta memberi pendedahan kepada pelajar bukan Muslim mengenai etika sosial. Dengan pengasingan modul yang teliti, program ini memastikan setiap peserta memperoleh manfaat yang setimpal dan selari dengan keperluan masing-masing.
Penulis Utama: Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi
Penulis Bersama: Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman, Nooraidah Mokhtar, Dr. Jamaluddin Jasmis