ALOR GAJAH, 30 Oktober 2022 – Seramai 34 orang murid sekolah rendah sekitar Melaka telah menyertai program Kem dan Pertandingan Robotik Lego Education Wedo 2.0 Peringkat Negeri Melaka selama dua hari bermula 29 hingga 30 Oktober 2022 anjuran bersama UiTM Cawangan Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Gabungan Belia Bersatu Malaysia (GBBM) Negeri Melaka dan Kidszone Robotics Melaka. Program yang berlangsung selama dua hari ini telah diisi dengan kelas asas robotik pada 29 Oktober dan pertandingan robotik pada 30 Oktober 2022.
Pengarah Program ini iaitu Puan Aini Qamariah Mohd Yusof berkata program usahasama ini adalah inisiatif pihak penganjur dalam membantu melestarikan matlamat kerajaan untuk membina generasi celik sains dan teknologi di masa hadapan.
Puan Nurul Hazwani Ismail, Pengurus Kidszone Robotics Melaka telah menjadi fasilitator utama program dan menyediakan latihan-latihan robotik untuk para peserta serta menjadi juri pertandingan ini. Program ini menobatkan adik Muhammad Firas Haqiemi bin Mohd Falzili (12 tahun) dari Sekolah Kebangsaan Lereh, serta adik Muhammad Aqil Darwisy bin Rizman (11 tahun) dari Sekolah Kebangsaan Krubong sebagai Johan pertandingan.
Naib Johan pula dimenangi oleh adik Aliff Aqil Isyraf bin Alif Amri (11 tahun) serta adik Muhammad Zahiruddin bin Zamry (11 tahun) dari Sekolah Kebangsaan Krubong. Tempat ketiga jatuh kepada adik Muhammad Syakir Norizam (10 tahun) dari Sekolah Rendah Agama JAIM Al-Faizin dan adik Muhammad Uwais Fiqrie bin Mohd Firdaus (9 tahun) dari Sekolah Kebangsaan Merlimau 1. Hadiah telah disampaikan oleh Encik Tee Yong Siang, Pengerusi Gabungan Belia Bersatu Malaysia (GBBM) Negeri Melaka mewakili semua penganjur bersama program.