Satu program Kem Cilik Cuti Sekolah: ‘Young Engineer to Be’ anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat telah di adakan dengan jayanya pada 15 Disember 2022 (Khamis) bertempat di sekitar UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka. Kem ini telah disertai seramai 135 pelajar sekolah rendah Tahap 2 (Tahun 4,5 & 6) di sekitar Daerah Maran dan Jerantut.
Program ini dianjurkan sebagai salah satu inisiatif pusat pengajian untuk menjalankan aktiviti khidmat masyarakat kepada penduduk sekitar terutamanya generasi muda di peringkat sekolah rendah melalui perkongsian ilmu dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memupuk dan memberi motivasi kepada peserta dan memberi peluang merasai suasana pembelajaran di universiti.
Program ini telah bermula di Dewan Indera Segara, UiTM Cawangan Pahang seawal 8 pagi untuk pendaftaran para peserta. Para peserta diberikan makanan dan minuman untuk sarapan pagi dan ditempatkan ke dalam kumpulan yang telah ditetapkan. Para peserta dibahagikan kepada 22 kumpulan A sehingga V yang terdiri daripada 6 atau 7 orang ahli setiap kumpulan dan mempunyai seorang fasilitator.Selesai sarapan pagi, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan dan taklimat program oleh penganjur. Seterusnya, diadakan sesi suai kenal dan senamrobik kepada para peserta yang diketuai oleh fasilitator dilantik yang terdiri daripada pelajar-pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam.
Program diteruskan dengan sesi 1 iaitu Explorace. Semasa explorace, terdapat 5 checkpoint yang perlu dilawati oleh para peserta. Aktiviti-aktiviti di check point adalah Dream Land, Cup stack challenge, Cargo plan challenge, Floating boat challenge dan Blind challenge. Objektif untuk aktiviti-aktiviti ini dijalankan adalah untuk meningkatkan minat para pelajar terhadap subjek Sains dan Teknologi melalui aktiviti-aktiviti luar kelas. Selain itu, bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan memupuk kerjasama di dalam kumpulan. Sesi explorace ini tamat pada jam 12.30 tengahari. Peserta diberikan rehat, makan tengahari dan solat zohor di Masjid Uwais Al-Qarni.
Sesi 2 iaitu “A GLIMPSE TO ENGINEERING WORLD” bermula jam 2.30 petang di makmal Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam. Di dalam sesi 2, para peserta di bawa melawat Makmal Bahan, Makmal Hidrologi, Makmal Geoteknik, Makmal Khidmat Bangunan dan Makmal Kaji Ukur. Para peserta diterangkan dan melihat demonstrasi alatan makmal yang digunakan bagi bidang kejuruteraan oleh pensyarah dan penolong jurutera makmal. Para peserta diberikan peluang untuk menggunakan alatan makmal seperti alatan untuk menguji kualiti air sisa, Theodolite dan Total Station bagi makmal ukur. Sesi 2 tamat pada jam 4.15 petang. Para peserta dibawa ke Masjid Uwais untuk rehat, minum petang dan menunaikan solat Asar berjemaah.
Pada jam 5.15 petang, majlis penutup bermula di Dewan Indera Segara. Majlis penutup dirasmikan oleh Prof Ts Dr Mohd Ilham Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang. Turut hadir bersama di majlis penutup iaitu Prof Dr Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor PJI, UiTM Caw. Pahang, Encik Khairuddin bin Abdul Hamid, Pengurus Cawangan Bank Rakyat Jengka, Encik Muhammad Nur Iman Hairussaleh, Eksekutif Projek Yayasan Bank Rakyat dan para ibu bapa peserta. Program diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah kepada para peserta, tetamu jemputan,dan penaja. Program diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan.Program ini tamat pada pukul 6.00 petang.