Kelestarian Rekreasi – Lawatan Sambil Belajar ke Rasa Ria Reserve, Shangri-La Rasa Ria, Tuaran, Sabah

TUARAN, 11 Januari 2025 – Seramai 54 pelajar dari program HM241 Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, telah mengadakan lawatan akademik ke Rasa Ria Reserve, Shangri-La Rasa Ria, Tuaran. Lawatan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan silibus kursus HTT549 – Park, Recreation and Leisure Services serta memberi pendedahan kepada pelajar mengenai destinasi pelancongan yang berasaskan rekreasi.

Lawatan ini diadakan di bawah bimbingan Dr. Boyd Sun Fatt, pensyarah kursus, dan dimulakan dengan ceramah khas daripada wakil pengurusan Rasa Ria Reserve, Cik Sharon (dikenali sebagai TikTokers Karabau Monster) dan Encik Dino Sebastian. Penceramah memperkenalkan konsep pengurusan pelancongan, pengurusan rekreasi luar, dan pengurusan lestari, menekankan usaha pemeliharaan alam sekitar, serta bagaimana aktiviti rekreasi dapat membantu melindungi alam.

Selain sesi ceramah, pelajar terlibat dalam aktiviti trail hiking ke menara observasi Rasa Ria yang terletak 200 meter dari aras laut. Aktiviti ini memberikan pendekatan langsung kepada pelajar mengenai pengurusan rekreasi di lapangan, sementara juga mengenalkan mereka kepada aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi.

Lawatan diteruskan ke tapak program CSR Rasa Ria Reserve yang melibatkan pengumpulan botol dan proses kitar semula. Aktiviti ini memberikan pendedahan tentang pentingnya pengurusan lestari dalam pelancongan dan meningkatkan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar.

Melalui lawatan ini, pelajar dapat memperluas pengetahuan tentang pengurusan rekreasi serta mempraktikkan teori yang dipelajari di kelas. Aktiviti tersebut bukan sahaja memberi pengalaman praktikal tetapi juga memupuk kefahaman yang lebih mendalam tentang pelancongan lestari dan pengurusan rekreasi.

Keseluruhannya, lawatan ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan pembelajaran pelajar dan memperkukuh asas pengetahuan mereka untuk menjadi profesional dalam bidang pengurusan pelancongan.