5 hingga 9 Mac 2024, Kelab Penyayang, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA Shah Alam telah menganjurkan Program ASEAN’s Sustainable Community Development (ASCD) 2024 To Yogyakarta, Indonesia. Program kesukarelawanan antarabangsa ini merupakan kesinambungan daripada Program ASCD Siri 2022 yang lepas bertempat di Negara Kemboja dan Vietnam.
Seramai 17 orang Sukarelawan Mahasiswa daripada pelbagai bidang dan fakulti menyumbang idea dan tenaga bagi melaksanakan pelbagai aktiviti melalui beberapa kluster seperti; kluster pendidikan, kluster kesihatan, dan kluster kebajikan. Siri ASCD kali ini, Kelab Penyayang UiTM Shah Alam memilih Panti Asuhan dan Pondok Pesantren Bima Bhakhti Al-Mujib (Putra dan Putri), Yogyakarta, Indonesia sebagai lokasi lapangan. Persatuan Wanita UiTM (PEWANI) dan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (DANA KITA) juga menjadi rakan kolaboratif bagi program ini dengan memberi sumbangan wang dan beg sekolah kepada warga panti asuhan dan pondok pesantren tersebut.
Para peserta juga telah mengunjungi dua buah universiti terkenal di Yogyakarta iaitu Universitas Gadjah Mada (UGM) Universitas Gadjah Mada dan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) Universitas Negeri Yogyakarta. Dalam kunjungan akademik tersebut, para peserta di himpunkan dalam satu seminar kepimpinan bersama wakil Pejabat Direktorat Kemahasiswaan dan perwakilan pelajar dari kedua – dua buah universiti. Seminar tersebut bertemakan kepimpinan pelajar dan aktiviti kesukarelawanan atau dalam Bahasa Indonesia dikenali sebagai aktivitas pengabdian kepada masyarakat. Dua orang wakil bagi setiap universiti membentangkan berkenaan latar belakang persatuan, program dan aktiviti kesukarelawanan masing – masing. Pelbagai input dan pandangan berjaya di capai oleh kedua-dua pihak dalam mempertingkatkan pengembangan ilmu mengenai aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.