Kampung Padang Jawa, 9 Jun 2024 – Pelajar tahun akhir dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah melancarkan sebuah inisiatif inovatif yang dikenali sebagai “Smart Flood Beacon Alarm” di Dewan Komuniti Padang Jawa di Shah Alam. Program ini di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).
Di bawah bimbingan Ts. Dr. Surya Sumarni Binti Hussein, program ini melibatkan 24 pelajar KPPIM dan komuniti Kampung Padang Jawa (Petaling). Oleh kerana banjir yang sering melanda Kampung Padang Jawa, para pelajar telah bertindak secara proaktif dengan mengambil inisiatif untuk membangunkan sistem pintar yang inovatif. Kumpulan pelajar ini mencipta penyelesaian yang mampu memberikan amaran awal dan memperkukuh keupayaan pengurusan banjir secara keseluruhan di kawasan tersebut.
Projek ini dibangunkan oleh pelajar KPPIM ini dengan tujuan untuk memberikan amaran awal tentang kenaikan paras air banjir serta mengurangkan risiko kecederaan dan kerosakan harta benda yang disebabkan oleh banjir kepada penduduk kampung. Tiang amaran prototaip ini dilengkapi dengan sensor ultrasonik yang berfungsi untuk memantau paras air secara berterusan yang bakal melanda di Kampung Padang Jawa. Dengan adanya sistem amaran awal ini, penduduk Kampung Padang Jawa akan mendapat manfaat seperti penduduk kampung akan diberi amaran lebih awal tentang kenaikan paras air, yang membolehkan penduduk kampung mengambil tindakan yang diperlukan dengan segera.
Program ini telah menerima sambutan yang amat baik daripada penduduk Kampung Padang Jawa. Menurut seorang penduduk tempatan, “Produk ini memang terbaik, penduduk boleh menerima amaran dimana tempat yang banjir”. Program ini telah dihadiri oleh beberapa tetamu terhormat, termasuk Encik Shahrulazrin Bin Roseli dan Encik Muhd Fahmi Izuddin Bin Jamaluddin, penaja untuk komponen IoT dan tiang yang digunakan dalam projek ini.
Aktiviti ini bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Para pelajar diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, serta Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.
Penulis: Anis Sofiah Binti Jumri, Dayang Shazleen Fitri Binti Awang Shariee, Muhamad Hakimi Bin Hashim (Editor: Suzana Zambri, KPPIM News Team)