Puncak Alam, 8 Disember 2024 – Unit Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam dan Jawatankuasa Sukan Pelajar (JSP) telah berjaya menganjurkan Kejohanan Sukan Antara Fakulti (INTERFACT) UCS 2024. Program yang berlangsung dalam dua fasa; sukan berkumpulan dan sukan individu itu telah menyaksikan penglibatan aktif warga UiTM dari 11 fakulti.
Perasmian majlis penutupan program telah disempurnakan oleh YBrs. Profesor Madya Dr Badrul Isa, mewakili YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor. Penyertaan lebih 1800 orang peserta bagi 11 sukan yang dipertandingkan melambangkan semangat juang dan kesatuan warga UiTM, serta menunjukkan komitmen tinggi dalam menjunjung semangat kesukanan.
Kejohanan Sukan Antara Fakulti UCS 2024 juga memberi peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang sihat serta menggalakkan mereka untuk aktif secara fizikal dalam suasana yang penuh dengan persaingan positif. Secara keseluruhannya, penganjuran Kejohanan Sukan Antara Fakulti UCS 2024 bukan sahaja berjaya mencapai matlamat untuk mempereratkan hubungan sesama pelajar, tetapi turut memperkukuhkan semangat kesukanan yang berterusan di kalangan warga UiTM. Diharapkan acara seperti ini akan terus mendapat sokongan dan penganjuran yang berterusan pada masa akan datang untuk manfaat bersama.
#UCSCemerlang