BANDAR JENGKA, 25 Februari 2023 – Pasukan memanah KARISTA UiTM Pahang dan pelatih Pusat Latihan Negeri (PLN) UiTM Pahang telah mengadakan mengadakan Kejohanan Persahabatan yang merangkumi pusingan kelayakan 36 batang anak panah dan pusingan kalah mati.
Tujuan diadakan kejohanan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada Pasukan Memanah KARISTA UiTM Pahang yang masih baharu untuk membiasakan diri dengan suasana kejohanan yang sebenar. Seramai 4 orang pemanah KARISTA dan 10 orang pemanah PLN menyertai kejohanan ini.
Pusingan kelayakan diungguli oleh dua (2) orang pemanah PLN iaitu Nik Nazrul Hafidh (333), Ahmad Darwish Abdul Qayyum (301) dan En Hamzah Abu Samah (300) yang mewakili pemanah KARISTA. Manakala bagi pusingan kalah mati pula Nik Nazrul Hafidh terus unggul dengan mudah mengatasi En Hamzah Abu Samah di perlawanan akhir dengan kiraan mata 6 berbalas kosong.
Kejohanan ini telah memberi satu anjakan bermakna kepada kedua-dua pasukan dimana satu perlawanan yang bermutu tinggi dapat memberi gambaran prestasi sebenar pemanah ketika berhadapan dengan suasana kejohanan yang sebenar.
Penganjuran kejohanan memanah seumpama ini, adalah sebahagian daripada program pembangunan sukan memanah yang sekaligus telah mencapai sasaran dalam memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur dan menyediakan pendidikan berkualiti kepada komuniti.
Ianya selaras dengan SDG3 – Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (“Memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur.”) dan SDG4 – Pendidikan Berkualiti (“Menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua.”) di mana PLN dan UiTM dapat mengukuhkan misi jangka panjang dan sederhana, agar dapat berperanan lebih proaktif dalam membudayakan nilai teras SDG tanpa membataskan peranannya hanya sebagai pusat penyebaran ilmu (UiTM).