Kejohanan Catur Terbuka UiTM Pahang: Aqil Amsyar Ungguli Pertarungan Sengit di Medan 64 Petak

JENGKA, 9 November – Unit Sukan Universiti Tekonologi MARA (UiTM) Pahang Kampus Jengka telah mengadakan sebuah kejohanan catur bertempat di Dewan Kolej Tun Teja pada 9 November yang lepas. Kejohanan tersebut bukan sahaja dibuka khusus untuk pelajar-pelajar UiTM Jengka, tetapi turut disertai oleh pelajar-pelajar sekolah, matrikulasi, dan orang awam seramai 79 orang peserta. Objektif penganjuran kejohanan ini bertujuan bagi mencungkil bakat baharu atlet catur untuk mewakili UiTM Pahang ke kejohanan yang lebih berprestij tinggi.

Kejohanan catur yang dianjurkan menggunakan format perlawanan Rapid Swiss, iaitu setiap pemain memiliki tempoh masa sebanyak 20 minit, dan mesti memenuhi tujuh pusingan perlawanan. Satu mata akan diberikan kepada pemenang bagi setiap satu pusingan perlawanan, manakala setengah mata tersebut akan diberikan kepada perlawanan yang tamat dengan keputusan seri. Bagi penggemar sukan catur, kejohanan catur yang memakan masa sehari suntuk merupakan satu kejohanan yang mencabar. Hal ini kerana setiap gerakan yang dibuat perlulah dilakukan dengan berhati-hati agar tiada ruang untuk berlakunya kesilapan.

Semasa berlangsungnya kejohanan ini, pelbagai kombinasi pembukaan dipertonjolkan oleh peserta-peserta dengan harapan dapat mengatasi lawan masing-masing di medan 64 petak. Antara persiapan yang sering dipentaskan adalah Four Knights Italian bagi sistem 1. e4 dan King’s Indian Defense bagi sistem 1.e5.

Kejohanan catur anjuran Unit Sukan UiTM Pahang mempamerkan Aqil Amsyar dari Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang muncul sebagai johan, yang memperoleh mata sebanyak 6.5/7. Diikuti dengan naib johan dan tempat ketiga yang dirangkul oleh Azizan bin Mohamad Azli dari Kampung Awah dan Rania binti Rosnaidi dari SK Jerantut. Manakala johan bagi kategori sekolah rendah pula dimenangi oleh Muhammad Izz Farish bin Mohd Azli dengan mata sebanyak 5.5/7. Bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT), dua pelajar daripada Fakulti Sains Gunaan UiTM Pahang, iaitu Muhammad Naqiu Shauqi bin Sabri dan Nur Julia Aqilah binti Azhar turut menerima anugerah tempat kedua dan ketiga. Pemenang-pemenang kejohanan catur ini masing-masing menunjukkan potensi yang cemerlang untuk menjadi pelapis sukan catur di Jengka dan seterusnya pada peringkat yang lebih tinggi.