Kejayaan Pelajar PPT UiTM Cawangan Negeri Sembilan Dalam Pertandingan Inovasi PPTNVIC 2022

Sebanyak 6 anugerah telah berjaya diraih oleh 5 pasukan daripada UiTM Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS) Kampus Kuala Pilah, yang telah menyertai pertandingan inovasi anjuran Pejabat Program Pra Pendidikan Tinggi UiTM, iaitu PPT National Virtual Innovation Competition 2022 (PPTNVIC ‘22) bermula pada 3 – 21 Januari 2022 yang lalu. Kelima-lima pasukan ini terdiri daripada barisan pelajar daripada program Pra Diploma Sains (PD007/008) dan Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) (AS002/003), serta para pensyarah yang mengajar kedua-dua program berkenaan pada semester Oktober 2021 – Februari 2022 ini.

Majlis penutup dan pengumuman rasmi pemenang bagi PPTNVIC ‘22 ini telah pun diadakan pada 4 Februari 2022 yang lalu, dan disiarkan melalui saluran rasmi UiTM Channel YouTube. Ia juga telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi yang merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM yang turut menjalankan fungsi selaku Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM. Melalui penyertaan tersebut, UiTMCNS telah berjaya merangkul 1 pingat gangsa, 3 pingat perak, 1 pingat emas dan 1 anugerah khas.

Satu-satunya pasukan daripada UiTMCNS yang telah berjaya mendapat pengiktirafan Anugerah Khas (Emerald) dan pingat emas dalam pertandingan ini dianggotai oleh Siti Aisyah Binti Mohamed Kamil, Azim Fahmi Bin Yaakob dan Muhammad Thaqif Waei Bin Noor Latiff daripada program Pra Diploma Sains. Kumpulan ini telah mengetengahkan projek inovasi bertajuk Board Game: MonoSLad dan telah dibimbing oleh dua orang pensyarah Bahasa Inggeris di Kampus Kuala Pilah iaitu Pn. Norfazlika Abd Karim serta En. Mohamad Iadid Ashrai Bin Hassannudin. Dengan kemenangan itu, pasukan ini juga telah berjaya menerima wang tunai berjumlah RM 200 daripada pihak penganjur.

Sementara itu, pasukan pertama yang memperoleh pingat perak pula dianggotai oleh Wan Faizatul Syarliny Binti Wan Suhaimi, Syahirah Binti Shareza dan Rabiatul Adawiyah Binti Abdul Halim dengan projek inovasi bertajuk Wordwall Initial. Pasukan ini dibimbing oleh fasilitator Cik Nadiah Mohamed dan Pn. Nurul Aityqah Yaacob yang merupakan pensyarah Matematik di kampus Kuala Pilah. Pasukan kedua yang meraih pingat perak terdiri daripada Nurul Rashidah Syuhada Binti Mohd Rais dan Nur Fara Ellyana Binti Ab Rahman yang mengetengahkan projek inovasi bertajuk Thermal Physics Games Using Wordwall. Pasukan ini telah dibimbing oleh dua orang pensyarah Fizik iaitu Ts. Siti Nafisah Md Rashid dan Cik Nor Fadhlin Jaafar. Di samping itu, kumpulan ketiga yang turut meraih pingat perak telah dibimbing oleh pensyarah daripada Jabatan Fizik dan Sains Bahan iaitu Pn. Nurulizzati Makhtar dan Pn. Siti Zaubidah Abdullah dengan tajuk projek inovasi A-maze-ing Physics. Pasukan mereka turut dianggotai oleh Nurul Naqiyah Binti Kamaludin Aminy dan Safwah ‘Atifah Binti Mohmad Puad yang merupakan pelajar daripada program Pra Diploma Sains.

Pingat gangsa pula telah berjaya diraih oleh pasukan yang dianggotai oleh Wilson Alyadrian Amat dan Muhammad Haiqal Mustaqim Bin Juraizam dengan projek inovasi bertajuk PT Made Easy. Kedua-dua pelajar ini merupakan pelajar daripada program Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera), dan dibimbing oleh fasilitator Profesor Madya Ts. Dr. Sheikh Ahmad Izaddin dan Pn. Siti Noriah Mohd Shotor yang merupakan pensyarah kimia di kampus Kuala Pilah.

Untuk rekod, sebanyak 47 pasukan telah mengambil bahagian dalam pertandingan inovasi ini yang dianjurkan khusus buat para pelajar program PPT di seluruh cawangan UiTM. Bertemakan Empowering students towards educational innovation, para peserta bebas untuk menghantar video bahan e-kandungan berdasarkan kepada empat trek berikut : Online Teaching / Learning Strategies, STEM Education, Educational Gaming atau Virtual Online Laboratories.