Puncak Alam, 24 & 25 Julai 2024 – Telah berlangsung Program Physiotherapy Research Colloquium, Alumni Expert Seminar, & Career Day 2024 di Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam yang mengetengahkan 3 agenda utama iaitu pembentangan hasil projek akhir tahun, perkongsian bersama alumni, dan sesi temuduga pelajar bersama agensi fisioterapi, bagi memperkasa kebolehpasaran para bakal graduannya dalam kerjaya fisioterapi.
Program yang berlangsung selama 2 hari ini telah melibatkan penyertaan seramai 74 orang pelajar akhir tahun program Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi (Kepujian) Pusat Pengajian Fisioterapi. Program dimulakan dengan pembentangan hasil kajian para pelajar, Projek Akhir Tahun yang telah dilaksanakan semenjak awal tahun 2023. Mereka, para pelajar, telah melalui setiap langkah asas proses penyelidikan untuk menghasilkan kajian yang telah dibentangkan bermula dari penyediaan kertas cadangan penyelidikan, permohonan etika, pengumpulan dan analisa data, serta penulisan tesis. Tugasan projek tahun akhir ini dirangka bagi membina kemahiran penting dalam kerjaya sebagai ahli fisioterapi iaitu kemahiran penyelidikan, bagi pengamalan fisioterapi berasaskan bukti.
Melalui program dua hari ini, tiga orang alumni dari program Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Fisioterapi yang sedang berkhidmat dalam pelbagai sektor telah dijemput bagi memberikan perkongsian tentang hakikat dan cabaran, serta persediaan dan strategi menempuh alam pekerjaan yang mencabar pada masa kini. Hasil dari perkongsian ketiga-tiga panel alumni yang hadir iaitu Encik Mohd Helmi bin Hisham yang merupakan Ketua Profesion Pengawai Pemulihan dan Jurupulih Perubatan (Fisioterapi), Encik Mohammad Harris Zafran bin Ahmad Haraman yang merupakan seorang ahli fisioterapi dari Persatuan Bola Speak Malaysia (FAM), dan Puan Nur Amirah binti Ishak yang merupakan pengasas Sea Intervention & Rehabilitation Centre Sdn Bhd, para pelajar memahami tentang peri pentingnya persiapan rapi dari segi pengetahuan, keperibadian, dan kebijaksanaan dalam menghadapi dunia pekerjaan. Sebelum itu, para hadirin juga telah diberi penjelasan komprehensif tentang Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774) yang melalui badan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia akan mengawal selia 16 jenis profesion kesihatan bersekutu, termasuklah profesion fisioterapi.
Pada masa yang sama, program ini turut berperanan sebagai platform yang menghubungkan para bakal graduan dengan agensi-agensi fisioterapi melalui segmen temuduga bersemuka dengan objektif utama bagi meningkatkan kebolehpasaran para bakal graduan. Sebanyak 16 agensi-agensi fisioterapi telah menyertai sesi temuduga bersemuka yang berlangsung pada hari yang berikutnya. Di antara agensi-agensi yang terlibat adalah Pantai Integrated Rehab, Hospital Pakar Wanita & Kanak-kanak Avisena, Hospital Pakar Regency, GT Physio & Rehabilitation, PhysioCare Malaysia, PhysioGo, TenderTouch Pediatric Rehab, Alpro Physio, MyPro Physio, Nadi Intelek, Ocare Physio, Medyna Physio, Setia Alam Chiropractic Specialty Centre, Precise Rehab, dan FitHab 88 Empire Physiotherapy Centre. Ini secara tidak langsung membuka peluang bagi menjalin hubungan dua hala di antara Pusat Pengajian Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM dan agensi-agensi fisioterapi bagi peluang kerjasama pada masa yang akan datang.
Pada penghujung hari kedua, penutupan program tersebut telah dirasmikan oleh Encik Romizan bin Jathin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TD HEP) Fakulti Sains Kesihatan, mewakili Dekan Fakulti Sains Kesihatan. Melalui amanat yang disampaikan, beliau telah berpesan kepada para bakal graduan agar sentiasa mengingati dan tidak melupakan akan asal-usul masing-masing apabila sudah berkerjaya kelak. Ini termasuklah ibu bapa yang telah banyak berkorban jiwa raga dan UiTM sebagai tempat menuntut ilmu yang memanusiakan para pelajar. Beliau juga turut meletakkan harapan kepada para bakal graduan untuk kembali menyumbang kepada bidang fisioterapi bagi memastikan keberlangsungan budaya kebersamaan di kalangan alumni fisioterapi, di samping meningkatkan lagi kualiti bidang yang diceburi ini.