Keberkatan Raya Aidil Adha, Pengajian Seni Liberal Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Santuni Anak Yatim & Asnaf

SHAH ALAM , 16 JUN 2024  – Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengadakan program Keberkatan Raya Aidiladha dengan inisiatif murni untuk meringankan beban anak yatim dan asnaf setempat. Program ini diuruskan oleh pelajar semester tiga, Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Euphoria Production) di bawah program Pengajian Seni Liberal sempena Minggu GemPiTA 4.0 yang membawa tema Rejuvenasi Jiwa, Pengukuhan Manhaj yang bakal berlangsung pada 26-29 Jun 2024 sebagai satu usaha masyarakat (CSR) dan keagamaan untuk menyantuni mereka yang memerlukan.

Menyambut semangat berkobar-kobar Aidiladha, lebih daripada 50 anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Rumah Anak Yatim Al – Mahabbah dirai dengan penuh kasih sayang oleh mahasiswa dan pensyarah KPSK UiTM. Aktiviti ini tidak hanya menyediakan sumbangan fizikal tetapi juga memberi peluang kepada pelajar untuk menghargai nilai-nilai kemanusiaan dan kebersamaan. Anak yatim dan asnaf ini juga dijemput untuk menghadiri aktiviti kemuncak GemPiTA 4.0 pada 29 Jun 2024 iaitu Malam Laila Al Ma’idah Mentor Mentee Pengajian Seni Liberal. Satu majlis jamuan makan yang meraikan penasihat akademik dan semua mahasiswa (mentee) Pengajian Seni Liberal. Malam itu juga akan menyaksikan program menarik antaranya pertunjukkan fesyen Muslimah Modesta: A Stylish Journey yang diselangi dengan Persembahan Reli-G: Melodi Kebangkitan Rohani, Dessert For Desert, jamuan Manisan Dari Tanah Gurun untuk dikongsi bersama warga Seni Liberal dan anak yatim.

Dr. Hazlin Anita, Koordinator Bidang Pengurusan Industri Kreatif berkata, “Program ini adalah bukti komitmen kami (KPSK) dalam memupuk kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sosial di kalangan mahasiswa. Kami berharap inisiatif seperti ini dapat memberi impak positif kepada komuniti sekeliling.”

Program Keberkatan Raya Aidiladha ini merupakan sebahagian daripada usaha KPSK UiTM untuk memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat melalui penglibatan aktif dalam amalan keagamaan dan kemanusiaan.

Dilaporkan oleh:
Ts. AZROZ MOHD
Pensyarah Kanan / Penasihat Projek
Bidang Pengurusan Industri Kreatif
Pengajian Seni Liberal
Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Kampus Puncak Perdana