Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Perkenan Pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor Sebagai Pro-Canselor UiTM

SHAH ALAM, 13 JUN 2022 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Tuanku Canselor UiTM berkenan mewasalkan pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam.

Turut berangkat ke UiTM sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 (November 2020) kali ini akan berlangsung secara bersemuka bermula pada 14 Jun hingga 6 Julai 2022 dengan menyaksikan seramai 27,287 keseluruhan graduan akan menerima sijil penganugerahan ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing.

Sidang pertama istiadat turut menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah kepada 89 graduan dalam pelbagai bidang dan 14 orang penerima Anugerah Graduan Terbaik tahun 2022. Di UiTM Shah Alam sebanyak 24 sidang akan berlangsung dengan penganugerahan kepada seramai 24,896 graduan dan diikuti dengan UiTM Cawangan Sabah pada 30 Jun hingga 1 Julai 2022 yang melibatkan seramai 728 graduan.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 bakal melabuhkan tirai di UiTM Cawangan Sarawak yang akan berlangsung pada 4 Julai hingga 6 Julai 2022 dengan jumlah graduan seramai 1,663 orang.

Secara keseluruhannya, pecahan bagi penganugerahan kepada graduan pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 seperti berikut:

169 Ijazah Doktor Falsafah

1,243 Ijazah Sarjana

163 Diploma Lepasan Ijazah

9,024 Ijazah Sarjana Muda

62 Profesional, dan

16,626 Diploma

Seluruh warga UiTM merafak sembah dan menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93. UiTM juga amat berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 turut disiarkan secara langsung di saluran rasmi  Youtube UiTM Channel, Facebook UiTM Media Rasmi dan TikTok Rasmi UiTM. Graduan boleh membuat semakan sesi konvokesyen di pautan https://simsweb.uitm.edu.my/sportal_app/graduat dan semakan nama di https://bit.ly/3gsCzwR dan untuk sebarang pertanyaan serta maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menyertai Group Telegram Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 (November 2020) di https://t.me/konvouitm93/26