KOTA KINABALU, 17 Julai 2024 – Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Projek Kayuhan Kapsul 25 Tahun UiTM Rentas Cawangan direalisasikan bersama peserta kayuhan ke destinasi terakhir di Borneo dan Majlis Perasmian Penutup di Arena Sukan Raflesia UiTM Cawangan Sabah (ARUS). Istimewanya pada kali ini, kayuhan turut disertai oleh Naib Canselor Universiti Teknologi MARA yang memimpin kayuhan sejauh 25 KM bersama 25 orang peserta pengayuh yang terdiri daripada staf akademik, staf pentadbiran dan alumni UiTM Cawangan Sabah.
Dalam melakar sejarah, menggamit memori, kayuhan ini bermula dari Kolej Teknologi Yayasan Sabah yang merupakan kampus pertama UiTM Cawangan Sabah yang dahulunya dikenali sebagai Yayasan Sabah-Institut Teknologi MARA (YS-ITM) yang telah dirasmikan pada 17 Ogos 1973 oleh Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun. Jauh perjalanan luas pemandangan, peserta kayuhan menikmati keindahan suasana ibu negeri di bawah bayu, melalui kawasan tumpuan utama bandar Anjung Kinabalu, menyusuri ketenangan pantai sepanjang Teluk Likas, Menara Kinabalu, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah dan seterusnya ke kampus UiTM Kota Kinabalu.
Kayuhan Kapsul UiTM 25 Tahun Rentas Cawangan yang bertemakan kelestarian kampus dan inisiatif hijau dengan kerjasama dari Tropical Rainforest Living Collection (TRLC) Banun melalui Pulau Banding Foundation (PBF) yang menaja 400 anak pokok dengan agihan sebanyak 25 anak pokok kepada setiap UiTM Cawangan Negeri. Sesi penanaman pokok dilaksanakan bersama para pelajar sukarelawan daripada Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Cawangan Sabah.
YBhg. Naib Canselor UiTM telah menyempurnakan majlis perasmian penutupan Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan (Borneo), Arena Raflesia UiTM Sabah (ARUS) dan Kedai CoSA Techwork yang dikendalikan oleh Kelab Pelajar Diploma Sains Komputer (CoSA) Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) UiTM Cawangan Sabah.
YBrs Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed merakamkan penghargaan kepada pengurusan UiTM dan semua Jawatankuasa terlibat dalam menjayakan program ini dan berharap agar semua mendapat manfaat bersama dalam melestarikan kampus dan komuniti setempat.