Kayuhan Basikal “Dare To Be Fit 2020” (D2BF)

Program “Kayuhan Basikal Dare To Be Fit 2020” anjuran bersama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM kampus Bertam telah pun  berlangsung pada 9 September 2020. Program ini merupakan salah satu aktiviti kemuncak program Dare To Be Fit 2020. Program Dare To Be Fit 2020 merupakan aktiviti susulan program Dare To Fit yang berlangsung pada tahun 2019. Tujuan program ini   dianjurkan adalah untuk mengalakkan amalan gaya hidup sihat disamping mengeratkan ikatan silaturahim dengan harapan dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja staf-staf UiTM Kampus Bertam. Program kayuhan basikal dibahagi kepada dua kumpulan utama iaitu “Kayuhan BB” dan “Kayuhan MTB”. Kayuhan BB merupakan kayuhan basikal sejauh 10 km manakala “Kayuhan MTB” sejauh 25 km. Pembahagian kumpulan adalah berdasarkan keupayaan fizikal peserta dan juga jenis basikal yang digunakan.

Aktiviti bermula dengan kehadiran peserta pada 7.30 pagi, dimulakan  dengan pemberian taklimat oleh pengarah program, Tuan Haji Bahman Jamaluddin dan disusuli dengan bacaan doa selamat bagi memberkati program. Semua peserta dinasihatkan untuk makan terlebih dahulu dan kerap hidrasi untuk mengelakkan masalah kesihatan sepanjang kayuhan. Kayuhan basikal bermula tepat pada pukul 8.20 pagi, disertai oleh kira-kira 30 orang peserta. Laluan kayuhan basikal  melalui Bulatan Ilmu, Pinggiran Bertam, Kampung Permatang Langsat, Kampung Pantai Kemelun, Institut Bumbung Lima, Kampung Paya Keladi dan kembali ke Pinggiran Bertam sebelum menuju ke UiTM kampus Bertam. Laluan “Kayuhan MTB” amat menarik sekali kerana melalui jalan bendang sawah padi.

Semua peserta kembali ke UiTM kira-kira pada pukul 10.30 pagi. Program Kayuhan Basikal Dare To Be Fit 2020 berakhir dengan aktiviti rengangan badan dan sedikit ucapan daripada pengarah program. Program berjalan dengan lancar sekali dan semua peserta dapat melengkapkan cabaran kayuhan basikal dengan jayanya. Tahniah diucapakan pada ahli jawatankuasa atas komitmen yang jitu yang  diberikan sepanjang program berlangsung. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mengalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan staf UiTM.