INDONESIA, 29 Januari 2024 – Institut Teknologi Telkom Purwokerto telah menganjurkan Pameran Poster Internasional “POST HUMAN” buat kali ke 3 yang bertempat di Karsadia Culture Space dan Satria Gallery, Indonesia. Pameran poster antarabangsa ini merupakan pameran tahunan yang dianjurkan oleh Institut Teknologi Telkom Purwokerto yang melibatkan penyertaan daripada para pereka daripada 20 negara bagi pameran POST HUMAN Jilid 1 dan Jilid 2.
Pameran poster antarabangsa ini merupakan undangan kolaborasi di antara Institut Teknologi Telkom Purwokerto dan Universiti Teknologi Mara Cawangan Kelantan. Undangan Cik Roziani Mat Nashir @ Mohd Nasir sebagai co-curator dalam pameran ini membuka ruang kolaborasi sinergi untuk pameran antarabangsa bagi pelajar Jabatan Seni Reka Grafik & Media Digital. Pameran ini menjadi platform bagi pelajar yang terlibat dalam mengekspresikan hasil karya poster di peringkat global.
Acara tahunan yang ketiga Pameran Poster Internasional “POST HUMAN” ini bertumpu kepada tema “Post-Human #3 Toxicity”, di mana harapan dipersembahkan sebagai penawar yang memainkan peranan dalam memulihkan semula sifat toksik bandar-bandar. Para artis menampilkan hasil karya menarik yang menggambarkan budaya kemasyarakatan dan diterjemahkan dalam bentuk karya seni berupa poster. Acara ini berfungsi sebagai platform visual untuk pertukaran dialektikal dengan menggunakan teknologi untuk menterjemahkan harapan mereka terhadap masa hadapan.
Pameran poster antarabangsa ini telah melibatkan penyertaan daripada 35 buah negara, 11 universiti dan 6 komuniti. Hasil karya ilustrasi poster daripada pensyarah dan pelajar daripada Jabatan Seni Reka Grafik & Media Digital, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kelantan turut terpilih dalam pameran poster antarabangsa tersebut. Hasil karya ilustrasi poster daripada Cik Roziani Mat Nashir @ Mohd Nasir mengangkat tema ‘Post Human: Toxicity’. Manakala 3 orang pelajar semester 5 yang terpilih adalah Nurin Nazihah binti Abd Gani, Nurain binti Jahari dan Rusyda Damia binti Iskandar. Semua hasil karya yang terpilih telah menepati kriteria ilustrasi poster dan mempamerkan tema yang sama.
Karya-karya yang terpilih ini dapat mencerminkan bakat melalui ilustrasi poster yang wujud dalam komuniti seni global. Pameran ini juga dapat dijadikan platform untuk mempamerkan bakat dan hasil karya melalui rekaan grafik. Dalam masa yang sama, dengan penglibatan pensyarah dan pelajar daripada Kolej Pengajian Seni Kreatif ini, secara tidak langsung telah menaikkan nama UiTM Cawangan Kelantan di peringkat antarabangsa. Melalui pameran antarabangsa ini juga, para pereka muda keluaran UiTM Cawangan Kelantan dapat memperkembangkan hubungan dalam komuniti artistik dan mempertingkatkan ruang kreativiti sebagai respons kepada apa jua isu berkaitan yang terjadi dalam masyarakat dunia.