KOTA KINABALU, 3 Julai 2024 – Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Karnival STEM 2024 bertempat di UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu. Program ini telah dirasmikan oleh wakil YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohamed, Rektor UiTM Cawangan Sabah.
Karnival STEM 2024 ini disertai oleh lebih 80 peserta yang terdiri daripada pelajar tahun 6 dan pelajar tingkatan 3 daripada 17 buah sekolah sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran. Program ini juga menjadi platform bagi mahasiswa Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Sabah untuk bergiat aktif bukan sahaja dalam akademik bahkan dalam aktiviti persatuan serta dapat membantu dalam membudayakan bidang Science Technology Engineering & Mathematics (STEM) di peringkat persekolahan khususnya. Seramai lebih 50 mahasiswa di bawah Persatuan Scienergy turut membantu sebagai fasilitator dan AJK pelaksana.
Pelbagai aktiviti menarik sepanjang program ini berlangsung seperti pameran inovasi dan aplikasi STEM, simulasi STEM, eksperimen sains, lab tour, kids’ scientists ,campus tour, taklimat Jom Masuk UiTM, Alumni Talk, photobooth, scenescape, dan galaxy walkway. Sasaran utama Karnival STEM 2024 ini menitikberatkan pemahaman teori dan aplikasi yang mana ia dapat memupuk kesedaran, minat dan kefahaman terhadap bidang STEM kepada peserta dan pengunjung.
Dalam usaha mendepani cabaran revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dan juga aspirasi negara dalam menyemarakkan lagi budaya STEM dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya pelajar-pelajar sekolah. Hubungan strategik bersama pemain industri berkaitan STEM dilaksanakan bagi usaha membantu membudaya dan memperkasa bidang STEM. Program ini mendapat kerjasama dan komitmen daripada Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik dan agensi luar seperti Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, U-Science Universiti Malaysia Sabah dan Jabatan Meteorologi Negeri Sabah.
Dalam memastikan aktiviti memperkasa minat terhadap STEM terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah, semua sekolah yang terlibat dalam Karnival STEM 2024 telah diberi watikah perlantikan sebagai sekolah angkat.
Karnival STEM 2024 ini sejajar dengan aspirasi negara dan misi Matlamat Pembangunan Lestari ke-4 (SDG 4) iaitu berkaitan meningkatkan kualiti Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan ciri-ciri keintelektualan tinggi yang ada dalam masyarakat. Kesinambungan daripada itu, Karnival STEM 2024 ini pastinya usaha untuk memperkasakan lagi momentum dalam menjadikan Malaysia sebagai negara maju.