SHAH ALAM, 27 SEPTEMBER 2022 – Sebuah Karnival Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) telah diadakan di SMK Seksyen 18 Shah Alam hari ini. Program yang melibatkan seramai 1192 pelajar ini dirasmikan oleh Profesor Dr Mohamad Hariri Abdullah, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN).
Menurut Timbalan Naib Canselor ICAN “Generasi muda merupakan pelapis utama negara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan Sains Teknologi dan Inovasi (STI) yang mencukupi dan berkemahiran tinggi untuk memacu pembangunan negara dalam mendepani dunia Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Oleh itu, sudah tentunya ini bersangkut paut rapat dengan pendidikan STEM yang mana ianya merupakan asas terpenting bagi penghasilan modal insan yang diperlukan dan juga memupuk minat pelajar terhadap STEM”.
Objektif penganjuran Karnival STEM ini adalah untuk memberi pendedahan dan menarik minat murid mengenai perkembangan teknologi terkini serta kerjaya berkaitan bidang STEM dan bidang-bidang lain yang berkaitan. Ini adalah sejajar dengan matlamat Pendidikan STEM untuk melahirkan pelajar yang mempunyai literasi STEM yang berupaya mengenalpasti, mengaplikasi serta mengintegrasikan konsep / komponen STEM untuk memahami masalah dan menyelesaikannya secara kreatif dan inovatif. Disamping itu, penganjuran Karnival STEM ini juga adalah platform untuk mengeratkan kerjasama strategik dalam kelestarian sistem pendidikan antara Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM Shah Alam bersama rakan-rakan strategik dari industri serta organisasi bukan kerajaan (NGO).
Pelbagai pameran dan aktiviti menarik telah diadakan di Dewan Al Madani, SMK Seksyen 18 bagi memupuk kesedaran pelajar-pelajar terhadap kepentingan Pendidikan STEM serta elemen inovasi di sekolah. Antara contoh aktviti yang diadakan adalah RBT – Robotics and Akuaponik, ART / FIZIK- Viral Spiral and Art Bot (Motor Electromagnet), COMPUTER GAME – Minecraft Game Math Fizik, SCIENCE – Pengoksidaan Apple, , Crafts – Crafted Soap serta pameran dari UiTM, Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM), EJau- Biobaswd Polymer dan PADU (Plant Extraction).
Turut hadir dalam program ini adalah Pengetua SMK Seksyen 18 , Encik Kamali bin Murid, Ketua Penolong Pengarah Unit Sains dan Matematik, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Puan Anita binti Parlan, Penolong Pengarah Unit Sains dan Matematik, Penyelaras STEM Negeri, Encik Kamarul Rizal Sahrin bin Abdul Karim, Penyelaras STEM Daerah, PPD Petaling Perdana, Naib Pengerusi PIBG SMK Seksyen 18, Encik Ahmad Idzwan bin Ramli, Pengerusi Biro Kurikulum PIBG SMK Seksyen 18 dan barisan pengurusan tertinggi ICAN, Pengarah Pusat Jaringan Industri (INC) , Profesor Dr Muhammad Hussain Ismail, Pengarah Pusat Jaringan Komuniti (CNC), Profesor Madya Dr Mahadir Ladisma, Ketua Pusat Jaringan Komuniti, Dr Sukreen Hana , Ketua Pusat Komunikasi ICAN, Dr Neesa Ameera Mohamed Salim dan Penolong Pendaftar INC, Puan Umi Kazura Zakaria.