Putrajaya, 12 Januari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional (iCEPS) telah menganjurkan Karnival Komuniti Sihat Sejahtera di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya. Program ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai gaya hidup sihat serta kesejahteraan fizikal dan mental. Diadakan dengan penyertaan lebih 300 orang dari pelbagai lapisan masyarakat, karnival ini turut menggabungkan usaha kolaboratif antara pelajar Sarjana Muda Kejururawatan NHSN8C UiTM, pelbagai organisasi kerajaan dan swasta, serta pihak penaja.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Profesor Dr. Faizah binti Abd Majid, Ketua Pegawai Eksekutif iCEPS UiTM, yang menekankan betapa pentingnya program ini dalam menunjukkan komitmen UiTM terhadap pendidikan dan tanggungjawab sosial dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti. Dalam pada itu, Puan Hajjah Fatimah Sham, pensyarah yang terlibat, menjelaskan bahawa karnival ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari serta mengasah kemahiran kepimpinan dan pengurusan dalam konteks dunia sebenar.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang karnival, antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, sesi pendidikan kesihatan, serta program kesedaran mengenai penyakit tidak berjangkit dan kanser. Selain itu, peserta turut diberi peluang untuk memperkasa kesihatan mental melalui ceramah dan sesi interaktif. Semua ini merupakan sebahagian daripada inisiatif UiTM dan iCEPS dalam menyebarkan ilmu dan amalan kesihatan yang baik kepada masyarakat, selaras dengan misi universiti untuk memberi impak positif kepada komuniti.
Penulis bersama: Fatimah Sham, Raslinaly Ramly, Profesor Dr. Faizah Abdul Majid, Dr. Saiful Adli Bukry