Karnival Kesihatan Orang Asli Gombak – Khidmat Komuniti Pelajar Perubatan UiTM

Karnival Kesihatan Orang Asli Gombak – Khidmat Komuniti Pelajar Perubatan UiTM

29 Disember 2019 – Persatuan Mahasiswa Harmoni Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) (HARMONI) telah menganjurkan Karnival Kesihatan Orang Asli Gombak di Dewan Serbaguna Komuniti Orang Asli Bt 12 Gombak. Program yang diadakan ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar perubatan kepada program khidmat masyarakat yang melibatkan komuniti Orang Asli dan menyantuni mereka dengan lebih dekat.

Karnival Kesihatan ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Gombak Utara dan Pertubuhan IKRAM Daerah Gombak. Seramai 40 orang ahli HARMONI dari Fakulti Perubatan UiTM terlibat sebagai jawatankuasa penganjur. Karnival Kesihatan ini juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran 8 orang pelajar Fakulti Pergigian dari Persatuan Pelajar Pergigian (DENSA) UiTM.

Karnival Kesihatan Orang Asli Gombak – Khidmat Komuniti Pelajar Perubatan UiTM

Program ini telah berjaya melibatkan lebih daripada 100 orang ibu bapa dan lebih daripada 110 orang anak-anak dari komuniti Orang Asli Batu 12 Gombak. Karnival Kesihatan ini dimulakan dengan ceramah kesedaran penjagaan kesihatan kepada ibu bapa yang disampaikan oleh Dr. Nurdiyana Nasrudin dari Fakulti Perubatan UiTM.

Semasa ceramah diadakan, mahasiswa HARMONI perubatan UiTM menyantuni semua anak-anak yang hadir dengan melibatkan mereka dengan beberapa aktiviti permainan iaitu ‘Jom Belajar Badan Kita’, permainan bola beracun, galah panjang dan juga baling selipar. Anak-anak yang berumur antara 3-6 tahun pula dilibatkan dengan aktiviti mewarna. Untuk menghargai semua anak-anak yang hadir, HARMONI telah menyediakan hadiah sumbangan keperluan barang sekolah untuk setiap anak yang terlibat.

Karnival Kesihatan Orang Asli Gombak – Khidmat Komuniti Pelajar Perubatan UiTM

Acara saringan kesihatan dan pemeriksaan gigi yang melibatkan ibu bapa dan anak-anak berlangsung dengan meriah kerana ia merupakan peluang untuk komuniti ini mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma. Ini diikuti dengan sumbangan barang keperluan makanan yang disalurkan kepada semua ibu bapa yang hadir di Karnival Kesihatan ini.

Karnival Kesihatan ini diketuai oleh saudari Nur Fatin Farzana Mohamad, pelajar tahun 2 Fakulti Perubatan UiTM selaku Pengarah Program dan saudara Muhamad Nur Firdaus Saharodzi, pelajar tahun 2 Fakulti Perubatan UiTM selaku Timbalan Pengarah Program. Pensyarah pengiring bagi pelajar perubatan yang hadir ialah Dr. Nasibah Azme, Dr. Awla Mohd Azraai, Dr. Wan Najwa Wan Mohd Zohdi dan Dr. Siti Aznida Ab Karim. Manakala pensyarah pengiring bagi pelajar pergigian yang hadir ialah Profesor Madya Kolonel (B) Dr. Ikmal Hisham Ismail.

Karnival Kesihatan Orang Asli Gombak – Khidmat Komuniti Pelajar Perubatan UiTM

Program ini dilihat telah dapat menyuntik kesedaran kepada ibu bapa untuk menitikberatkan kesihatan anak anak dan keluarga. Sumbangan barang keperluan makanan dan keperluan sekolah kepada komuniti orang asli ini juga secara tidak langsung akan dapat menyuntik semangat mereka untuk menitikberatkan aspek akademik dan persekolahan.

Pihak Persatuan Mahasiswa Harmoni Fakulti Perubatan UiTM juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak penaja yang memberi sumbangan kepada komuniti orang asli ini yang terdiri daripada Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Customer Care Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Lumpur.

Karnival Kesihatan Orang Asli Gombak – Khidmat Komuniti Pelajar Perubatan UiTM

Mahasiswa perubatan yang terlibat juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak pentadbiran Fakulti Perubatan UiTM, dan Rektor UiTM Cawangan Selangor kerana telah memberi sokongan dari segala bentuk dan fasiliti termasuklah khidmat lori dan bas bagi kemudahan pengangkutan pelajar dan barang bantuan, Sistem PA, kemudahan khemah dan banyak lagi.

Kesimpulannya, Karnival Kesihatan ini berjaya memberi peluang kepada para pelajar perubatan yang hadir untuk menyantuni ibu bapa dan anak-anak orang asli secara individu dan secara tidak langsung membentuk sahsiah pelajar perubatan yang mempunyai sikap empati. Komuniti Kampung Orang Asli yang diwakili oleh Encik Suhaimi Along selaku ketua kampung telah menyarankan agar mahasiswa perubatan UiTM dapat menganjurkan program seumpama ini lagi di masa hadapan.

Karnival Kesihatan Orang Asli Gombak – Khidmat Komuniti Pelajar Perubatan UiTM

1
0