SUNGAI BULOH, 31 Mei 2023 – Pada tahun ini, buat julung kalinya, para pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Pembedahan Pergigian telah menganjurkan program ‘Oral Health Carnival’ yang ketiga bertemakan ‘superhero’ bertempat di Fakulti Pergigian UiTM Sungai Buloh.
Program kali ini dibuka kepada orang awam dan menyasarkan lebih kurang 320 pelajar pra-sekolah dan sekolah rendah Tahap 1 dari sekitar Lembah Klang. Seramai 81 orang pelajar Pergigian Tahun 4 Sarjana Muda Pembedahan Pergigian menjadi tunjang program ini, dibawah seliaan para pensyarah dari Pusat Pengajian Kesihatan Pergigian Populasi dan Pencegahan Klinikal, Fakulti Pergigian UiTM.
Objektif program ini adalah bertujuan untuk memberi pengalaman kepada pelajar dalam menganjurkan program komuniti, melatih semangat berkumpulan dan menggalakkan pelajar untuk berinovasi dalam memastikan hasil program yang mampan dapat diterapkan kepada kanak-kanak yang terlibat. Selain dapat menjalinkan hubungan rapat dengan pihak sekolah yang terlibat, ia juga diharapkan dapat memberi impak kepada kanak-kanak dalam memupuk tabiat penjagaan kesihatan pergigian kendiri yang baik.
Antara aktiviti yang disediakan adalah pelbagai sesi interaktif berkaitan pendedahan awal terhadap kesihatan pergigian kepada kanak-kanak. Para peserta telah dibahagikan kepada 7 kumpulan kecil dan mereka bergerak secara berkumpulan melalui 7 stesen interaktif berkaitan kesihatan pergigian contohnya seperti stesen ‘Puzzle Pool’ di mana kanak-kanak akan mencari dan melengkapkan ‘jigsaw puzzle’ berkenaan proses kaviti pada gigi, aktiviti ‘Red Light Green Light’ dan ‘Treasure Hunt’ di mana kanak-kanak bermain permainan mengenal pasti amalan yang baik atau tidak baik kepada kesihatan pergigian. Kanak-kanak juga seronok menghayati tayangan ‘Dental Puppet Show’ tentang kesihatan pergigian. Kanak-kanak diperkenalkan dengan konsep gigi kuat dan kepentingan penggunaan ubat gigi berflorida. Teknik pemberusan gigi yang betul juga turut di terapkan dalam Latihan Memberus Gigi kepada semua pelajar yang terlibat. Selain itu, pemeriksaan pergigian telah dilaksanakan kepada semua peserta. Para peserta juga turut berpeluang menyertai kuiz yang telah disediakan di setiap stesen untuk menguji pengetahuan mereka tentang kesihatan pergigian.
Program yang berakhir pada jam 1.00 petang itu di sempurnakan dengan upacara penyampaian hadiah kepada para peserta. Para peserta serta ibu-bapa dan guru-guru pengiring menyatakan rasa gembira dan berharap dapat menyertai program ini lagi pada tahun hadapan.