Karnival Jawi UiTM 2.0 serlah Koleksi Khas Jawi UiTM

SHAH ALAM, 4 OKTOBER 2024:  Karnival Jawi UiTM 2.0 yang berlangsung di Perpustakaan Tun Abdul Razak telah mencipta sejarah tersendiri apabila Koleksi Khas Jawi UiTM telah dirasmikan oleh dua orang tokoh ilmuwan iaitu Naib Canselor UiTM Yang Berbahagia Profesor Datuk Ts Dr. Shahrin Sahib dan Mufti Negeri Selangor Yang Amat Dihormati Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir.

Kesudian Yang Berbahagia Datuk Naib Canselor UiTM dan Yang Amat Dihormati Mufti Negeri Selangor menurunkan tanda tangan di atas plak Koleksi Khas Jawi UiTM merupakan satu penghormatan terhadap usaha pengumpulan dan pendigitalan naskah-naskah kitab lama yang kebanyakannya ditulis dalam tulisan Jawi.

Menerusi ucapan perasmian Karnival Jawi UiTM 2.0, Yang Berbahagia Datuk Naib Canselor UiTM menyatakan bahawa usaha memartabatkan tulisan jawi sebagai alat penyebaran ilmu dalam lanskap universiti harus diteruskan dan dibudayakan agar satu masa nanti UiTM menjadi hab Jawi yang dirujuk oleh masyarakat berbilang bangsa.

Sebaik Majlis Perasmian Karnival Jawi UiTM 2.0 berakhir di ruang LCE, barisan tetamu kehormat yang terdiri daripada Yang Berbahagia Datuk Naib Canselor UiTM, Yang Amat Dihormati Mufti Negeri Selangor, Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) Yang Berbahagia Profesor Dr Amer Shakir Zainol dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah Yang Berusaha Puan Nurul Julia Alani Henry dengan diiringi Ketua Pustakawan UiTM Ts Haji Azizi bin Haji Jantan telah dibawa melawat Koleksi Khas Jawi UiTM yang terletak di aras 4.

Salah satu koleksi yang berjaya mencuri tumpuan adalah Kitab Bahr Al-Mazi yang disusun oleh Syeikh Idris al-Marbawi iaitu ulama tersohor berbangsa Melayu sekitar tahun 1930an hingga 1980an. Kitab Bahr Al-Mazi adalah satu-satunya kitab yang berjaya menterjemahkan dengan sempurna kitab syarah Imam Tirmizi yang ditulis di dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi Klasik hingga digunakan dengan meluas di alam Melayu sejak tahun 1933 hingga kini.

Koleksi Khas Jawi UiTM mula dibangunkan oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak pada November 2023 hasil cetusan idea Yang Berbahagia Naib Canselor UiTM ke-7. Kini koleksi Khas Jawi UiTM telah terkumpul hingga 850 naskah dan boleh dirujuk secara dalam talian menerusi Repositori Persuratan Jawi.

Karnival Jawi UiTM 2.0 merupakan program anjuran bersama Perpustakaan Tun Abdul Razak, Bahagian Hal Ehwal Islam dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah yang diadakan pada 3 hingga 4 Oktober 2024. Antara pengisian program adalah Forum Jawi berjudul Pembudayaan Tulisan Jawi dalam Institusi, Bedah Kitab Faridatul Faraid  dan pertandingan tulisan Khat Jawi.