Karnival Inovasi UCS 2023 Tarik Minat Penyelidik Dan Masyarakat Sekitar

PUNCAK ALAM, 14 JANUARI 2023 – Karnival Inovasi UCS yang dianjurkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mensasarkan seramai 5,000 pengunjung dalam kalangan penyelidik dan masyarakat sekitar Kuala Selangor berlangsung selama 2 hari iaitu pada 14 dan 15 Januari 2023 bertempat di Dewan Berlian UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam.

Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dan telah disaksikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Barisan Pengurusan Universiti, para penaja, rakan kerjasama industri serta para pengunjung.

Yang Berbahagia Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim berkata, penganjuran Karnival Inovasi UiTM Cawangan Selangor 2023 merupakan inisiatif bagi menyemai budaya inovasi dalam kalangan warga Universiti agar dapat menghasilkan penyelidik dan para pelajar yang mempunyai minda perekacipta (inventor) dan seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi moden.

Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berkata, beliau menyeru agar warga UiTM terutamanya para pendidik dan pelajar perlu mempunyai minda untuk ingin meneroka ilmu baharu bagi menghasilkan kaedah atau produk baru yang berkualiti tinggi agar dapat membantu pertumbuhan ekonomi masyarakat keseluruhannya. “Inovasi dalam sesuatu kaedah atau produk dapat menghasilkan kecekapan proses pengeluaran yang membawa kepada keuntungan maksima. Program-program seperti ini telah membawa banyak kemajuan kepada masyarakat luar bandar dalam bidang ekonomi. Sebagai contoh, melalui program khidmat masyarakat anjuran UCS bersama fakulti-fakulti di bawahnya seperti Program Hujung Rintis Siri 1 dan Siri 2 serta Karnival Jom Kome merupakan penyelesaian yang terbaik kepada isu atau masalah yang dihadapi oleh masyarakat atau komuniti setempat.”

“Malah, fakulti-fakulti juga turut terlibat dalam menyumbang pelbgai idea untuk menarik minat masyarakat luar bandar dalam mempertingkat taraf hidup mereka. Antaranya, Fakulti Pendidikan telah menyumbang kepakaran bagi menarik minat pelajar sekolah rendah di Kampung Hujung Rintis agar seronok untuk mempelajari bahasa Inggeris. Fakulti Pengurusan dan Perniagaan pula, berkongsi ilmu kepada masyarakat Kampung Hujung Rintis untuk membuat “Business model” daripada sumber-sumber yang sedia ada di kampung tersebut.  Begitu juga dengan Fakulti Perhotelan, berkongsi ilmu dan memberi tunjuk ajar berkaitan resepi-resepi baharu dengan sumber-sumber sedia ada agar dapat dikomersilkan,” ulas beliau.

Selaras dengan tema iaitu “Inovasi Memperkasakan Ekonomi”, penganjuran karnival ini menawarkan lebih daripada 70 pameran dan aktiviti menarik bagi memupuk kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan inovasi bagi sesebuah pembangunan masyarakat supaya menjamin dalam pertumbuhan ekonomi.

Penganjuran yang julung kalinya diadakan ini juga menampilkan acara utama yang lain iaitu perkongsian ilmu daripada penyelidik yang berpengalaman dalam sesi Hot Chocolate Research Talk manakala sesi Business Brew with Bigwigs pula menjemput 4 panel yang terdiri daripada syarikat ternama yang akan berkongsikan pengalaman sesebuah perniagaan dijalankan. Pada majlis yang sama, sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat milik Pusat Kecemerlangan UiTM dengan syarikat telah diadakan dengan disaksikan oleh pihak Kementerian dan UiTM sendiri.