Karnival Ilmu PTAR UCS 2024

13 November 2024 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Selangor telah menganjurkan Karnival Ilmu PTAR UCS 2024 yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 13 hingga 14 November 2024. Karnival ini bertujuan mempromosikan PTAR sebagai hub perkhidmatan maklumat yang menyeluruh dan juga sebagai wadah untuk menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan pelajar, staf dan komuniti sekitar. Karnival ini dirangka dengan pelbagai aktiviti menarik bagi mendekatkan masyarakat kampus kepada sumber ilmu yang berkualiti.

Hadir merasmikan program adalah YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor. Beliau diiringi oleh barisan pengurusan kanan UiTM, termasuk Ketua-Ketua Jabatan, Bahagian dan Unit. Majlis perasmian turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi dua kategori utama iaitu Pertandingan Iqra’ Corner dan Peminjam Buku Terbanyak.

Pemenang kategori ini merangkumi staf akademik dan staf pentadbiran yang menunjukkan komitmen tinggi dalam penggunaan perpustakaan sebagai sumber rujukan. Pengiktirafan ini dilihat sebagai satu usaha untuk menghargai dan mendorong pengguna perpustakaan agar terus memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh PTAR.

Karnival Ilmu PTAR UCS 2024 berjaya membuktikan komitmen perpustakaan dalam menyokong pembangunan akademik dan peribadi warga UiTM. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak PTAR atas inisiatif mereka dalam menganjurkan program ini yang tidak hanya memperkasakan budaya ilmu tetapi juga mengukuhkan peranan perpustakaan sebagai elemen penting dalam ekosistem pendidikan.