5 Jun 2024 – Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, Selangor bersama-sama rakan kerjasama Persatuan Alumni Universiti-Universiti Texas (PAUT) serta anjuran bersama beberapa kolej pengajian dan Fakulti dari UiTM Shah Alam dan Cawangan Selangor telah mengadakan aktiviti ’Amazing STEM’.
Program yang melibatkan seramai hampir kesemua murid dari SMK Jeram dan penglibatan guru-guru telah berjaya diadakan pada Rabu 5 Jun 2024. Program ’Amazing STEM’ ini menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menjalankan dan cakna kepada pentingnya mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah. Aktiviti berkaitan STEM yang dijalankan di luar bilik darjah ini adalah hasil dari kreativiti dan penglibatan mahasiswa serta pensyarah UiTM dalam merekabentuk permainan yang berkaitan STEM.
Program Amazing STEM ini adalah untuk mencapai objektif dalam menyampaikan ilmu dan pengetahuan serta berkongsi kemahiran STEM di peringkat sekolah menengah, menyediakan aktiviti berkaitan STEM dalam merentas kurikulum dengan penggabungjalinan dalam bidang STEM. Dengan adanya program sebegini, ia dapat meningkatkan kemahiran kempimpinan dan komunikasi pelajar universiti bersama komuniti sekolah, pada masa yang sama menyebarkan kepentingan pengetahuan STEM di kalangan pelajar/komuniti sekolah dalam mengaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Program anjuran UiTM yang terdiri dari Pengajian Pembinaan, Kolej Pengajian Alam Bina bersama-sama Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains dan Sukan, Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan Politeknik Banting ini berlangsung bermula seawal jam 7.30 pagi dengan sesi senamrobik yang disertai oleh murid tingkatan 1, 2, 3 dan diketuai oleh Dr Maisarah Shaari serta pelajar dari Fakulti Sains dan Rekreasi UiTM Shah Alam. Program ini diikuti dengan perasmian Program Amazing STEM oleh Dekan Fakulti Pendidikan Profesor Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris. Turut bersama-sama dalam perasmian program ini ialah Adjung Profesor Tuan Haji Mohd Amin Abdullah, Presiden PAUT, Dr Haji Khalid Yusof, Biro Jaringan Universiti dan Komuniti PAUT, Puan Noor Raihan Binti Mukhtaram, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, Profesor Dr Fazah Akhtar Hanapiah, Dekan Fakulti Perubatan, Profesor Madya Dr Leny Suzana Suddin, Timbalan Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni Fakulti Perubatan, Profesor Madya Dr Mohamad Rahizam Abdul Rahim, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains Sukan & Rekreasi serta Ibrahim Bin Burhan, Timbalan Pengarah Politeknik Banting.
Seusainya majlis perasmian, majlis diteruskan dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Fakulti Pendidikan dan PAUT. Kemudian, program diteruskan dengan acara lawatan ke reruai pameran berkaitan STEM dan Misi Akademik yang telah disediakan oleh penganjur-penganjur program dari UiTM dan Politeknik. Pada masa yang sama Ceramah Motivasi STEM juga telah disampaikan oleh En Hamzah Bin Kammapu dari PAUT kepada murid terlibat.
Pelbagai aktiviti menarik sepanjang Karnival Amazing STEM yang dijalankan selama sehari ini yang melibatkan lebih 300 murid SMK Jeram. Antaranya, ia dimeriahkan dengan aktiviti Mentor Mentee dari pelajar Pengurusan Pembinaan, Kolej Pengajian Alam Bina bersama-sama PAUT kepada murid terpilih tingkatan 4 dan 5. STEM Amazing Race untuk murid tingkatan 1,2 dan 3 telah diadakan yang melibatkan beberapa ’checkpoint’ yang disediakan oleh Fakulti Pendidikan berkaitan Matematik, Kolej Pengajian Alam Bina berkaitan struktur bangunan, Fakulti Perubatan berkaitan tatacara CPR dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi berkaitan senaman adalah antara intipati pembelajaran berkaitan STEM di luar bilik darjah yang mendedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini boleh diaplikasi dalam kehidupan seharian mereka. Selain itu, CaKeS atau dikenali sebagai program Cakna Kenali Sifir juga dijalankan kepada murid tingkatan 1 dan 2 yang lemah dalam matematik untuk menggunakan cara pembelajaran yang lebih menarik dalam subjek Matematik.
Program Amazing STEM ini menutup tirai pada jam 3.00 petang dengan acara penutup, iaitu penyerahan 100 buah Buku dari Politeknik Banting kepada Pihak SMK Jeram dan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada semua penganjur dan murid yang terlibat. Dengan adanya program yang melibatkan transformasi pendidikan dari universiti ke komuniti sekolah dapat dijayakan dengan tema pengkongsian ilmu dan berpanjangan dari Institut Pengajian Tinggi kepada sekolah-sekolah. Semoga program-program seperti ini lebih banyak dianjurkan dari UiTM kepada komuniti-komuniti secara bersasar dalam proses pemindahan ilmu dan memperkasakan pengetahuan STEM dalam melahirkan generasi yang kreatif dan berdaya saing.